suria

Lima Srikandi PPBM Keluar Parti

ALOR SETAR: Lima pemimpin Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), termasuk seorang Exco Srikandi Malaysia daripada tiga bahagian di negeri ini, mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti yang tidak menghiraukan pandangan serta teguran daripada peringkat akar umbi.

Mereka turut mengumumkan untuk melepaskan semua jawatan yang disandang mereka.

Mereka terdiri daripada Exco Srikandi Malaysia merangkap Ketua Srikandi PPBM Kuala Kedah Zuraini Kamal serta dua Anggota Jawatankuasa (AJK) PPBM negeri, Halimaton Saadiah Shah Mat yang juga Ketua Srikandi PPBM Pendang, dan Rukiza Abu Bakar yang merupakan Ketua Srikandi PPBM Pokok Sena.

Dua lagi adalah AJK Srikandi PPBM Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad.Pada sidang media pengumuman keluar parti itu, Zuraini yang mewakili kesemua pemimpin terbabit mendakwa mereka merasakan terlalu banyak isu dan polemik dalam parti itu yang tidak diuruskan dengan baik dan ditangani secara serius oleh pucuk pimpinan parti berkenaan.

"Ini bukanlah keputusan yang mudah. Sudah pasti kami akan dilabelkan sebagai pengkhianat, pemakan dedak, orang yang kecewa dan sebagainya. Tetapi prinsip kami mudah, berkata benar walaupun pahit. Berani dan bermaruah.

"Benar, PPBM baru setahun jagung tetapi kepimpinan tertinggi adalah dalam kalangan yang sangat berpengalaman dan berilmu, dan usia PPBM sebagai parti di peringkat penajaan tidak boleh dijadikan alasan," katanya pada Ahad.

Selain itu, beliau mendakwa budaya fitnah tanpa sebarang siasatan dan bela diri oleh individu terbabit dalam PPBM adalah sangat merbahaya dan terdapat ramai individu yang diketepikan atau ditukar jawatan hanya kerana kononnya ada salah laku, namun tidak berpeluang membela diri.

Zuraini turut mendakwa wujud budaya tidak boleh menegur dan memberi pandangan apabila terdapat individu dipecat oleh kepimpinan bahagian dengan alasan rombakan bukannya bermaksud dipecat setelah memberi teguran melalui saluran betul.

"Rombakan jawatan menyebabkan dua individu dilantik itu atau mempunyai kedudukan dan kuasa yang sama. Ia sesuatu tidak sepatutnya berlaku dan memecah-belahkan keharmonian di peringkat bahagian. Belum pernah ada bahagian wujud lantikan dua ketua Srikandi dan kedua-duanya masuk mesyuarat," katanya. - BERNAMA

PPBM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain