Langkawi Lokasi Final Miss Tourism International 2018 - Semasa | mStar

Langkawi Lokasi Final Miss Tourism International 2018

LANGKAWI: Langkawi bersedia untuk menjadi tuan rumah peringkat akhir Miss Tourism International tahun depan jika diberi peluang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Azizan Noordin.

Beliau berkata, keyakinan itu timbul selepas pulau peranginan itu berjaya menganjurkan peringkat separuh akhir pertandingan ratu cantik tersebut tahun lepas dan sekali lagi pada tahun ini.

“Berdasarkan kemudahan yang dimiliki, kami bersedia untuk menganjurkan acara ini tetapi saya percaya kami masih perlu bersaing dengan negeri lain yang  mungkin turut berminat untuk menjadi tuan rumah,” katanya kepada pemberita selepas Makan Malam Gala Miss Tourism International 2017 dan Pertunjukan Bakat di sini malam tadi.

Beliau berkata melalui penganjuran acara itu, Langkawi mampu memanfaatkannya sebagai tarikan dan produk untuk diketengahkan kepada seluruh dunia.

“Seperti malam ini, peserta memperagakan beg tangan kulit yang dihasilkan oleh Taman Buaya Langkawi dan lebih banyak produk yang boleh dipromosikan menerusi  acara ini,” katanya.

Terdahulu, Presiden yang juga Pemilik Francais Miss Tourism International Tan Sri Danny Ooi dalam ucapannya berkata kali terakhir Langkawi menjadi tuan rumah peringkat akhir pertandingan ini ialah pada 1995 dan beliau berharap pulau ini akan menganjurkannya lagi pada tahun hadapan.

Sementara itu, Azizan berkata gelaran  Duta Pelancongan Langkawi yang diperkenalkan pada tahun ini mampu membantu mempromosi pulau ini kepada pelancong dari Eropah dan benua Amerika.

Gelaran tersebut disandang oleh Julia Do Vale Horta, Miss Tourism Brazil yang juga seorang wartawan dan penyelaras acara.

Beliau berkata Vale Horta akan melaksanakan peranan mempromosi pulau ini bukan sahaja di negara asalnya sendiri, malah juga ke negara lain yang dikunjunginya.

Berdasarkan jumlah pengikut setia setiap peserta dalam media sosial, beliau berkata kini Langkawi dikenali oleh lebih 600 juta penduduk dari 50 negara.

“Ini sejajar dengan strategi kami untuk menggunakan media dalam talian bagi mempromosi pelancongan di Langkawi dan membawa lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.-- Bernama 





 


Artikel Sebelum

Bengah Sunting ‘Cik Bunge’

Artikel Berikut

AirAsia Sambung Semula Penerbangan Bali

Artikel Lain