suria

AirAsia Batal Penerbangan Ke Bali Dan Lombok

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan kos rendah, AirAsia, telah membatalkan 32 penerbangan dan menjadualkan semula dua yang lain melibatkan penerbangan dari serta ke Bali dan Lombok berikutan letusan Gugung Agung di Bali.

AirAsia, dalam satu kenyatan pada Ahad berkata, penumpang yang terjejas akan dimaklumkan mengenai status penerbangan mereka dan pilihan yang disediakan melalui e-mel yang didaftar mereka.

Katanya, penumpang yang penerbangan mereka dibatal, boleh menukar masa perjalanan baru ke laluan yang sama dalam tempoh 30 hari dari masa penerbangan asal tanpa kos tambahan dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Jika mereka memilih untuk tidak berbuat demikian, katanya, penumpang boleh mengekalkan nilai tambang mereka dalam akaun kredit untuk perjalanan masa depan dengan AirAsia.

“Akaun kredit dalam talian boleh ditebus dalam tempoh 90 hari daripada tarikh dikeluarkan," katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata, pelanggan dinasihatkan untuk melayari www.airasia.com dan laman media sosial AirAsia untuk pengumuman lanjut dan juga untuk memeriksa status penerbangan mereka menerusi ciri "Mengurus Tempahan Saya" di laman web AirAsia.

AirAsia berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan akan menjalankan penilaian risiko secara berteusan bagi menjamin keselamatan operasinya.

“AirAsia akan terus memberi maklumat mengenai perkembangan terkini,” katanya dan menasihati pelanggan yang inginkan maklumat lanjut dan bantuan supaya menghubungi pasukan sokongan pelanggan syarikat tersebut di https://support.airasia.com.- Bernama

AirAsia

Artikel Sebelum

Artikel Lain