suria

“Wanita Lain Pun Guna Duit Hantaran…”

Anis Hafiza dikecam gara-gara 'tweet' yang didakwa memperlekehkan golongan muda bergaji kecil. - Facebook/Twitter

PETALING JAYA: Isu pemilikan rumah dalam kalangan anak muda sentiasa menjadi perdebatan kerana selain harganya kini dikatakan berada di luar kemampuan pembeli, kos sara diri yang semakin tinggi juga membuatkan mereka semakin tertekan.

Namun bagi yang bijak mengintai peluang, mereka sanggup berkorban demi membeli sebuah rumah sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Terkini, seorang ibu kepada tiga cahaya mata teruk dikecam di Twitter gara-gara tweet yang dimuat naik olehnya pada Rabu lalu didakwa mempersendakan golongan muda yang tidak boleh hidup di bandar dengan gaji sebanyak RM2,000.

Melalui tweet tersebut, wanita itu mendakwa dia yang hanya bergaji RM2,500 sebulan mampu memiliki enam buah rumah di Lembah Klang.

Tambah kecoh apabila Anis Hafiza Ali, 31, mendedahkan bahawa dia menggunakan sebahagian daripada wang hantarannya sebagai deposit untuk membeli rumah pertama pada 2010.

Netizen yang pada awalnya kagum dengan kemampuannya memiliki rumah yang banyak walaupun bergaji kecil bertukar hampa selepas mengetahui perkara tersebut.

Seorang pengguna Twitter, @Farahzeiss berkata: "Alahai, hantaran bayar muka (deposit). Bulan-bulan anak muda macam kitalah bayar sewa dengan dia.

"Lepas tolak pinjaman, bolehlah dia show off (berlagak). Perkiraan mudah."

Kata Anis Hafiza, dia tidak berasa tindakannya menggunakan sebahagian wang hantaran tersebut sebagai isu yang perlu diperbesar-besarkan.

"Semua wanita pun akan gunakan duit hantaran. Sama ada untuk beli handbag (beg tangan) atau boleh jadikan deposit rumah.

"Saya hanya guna duit hantaran sebanyak RM2,500 untuk booking (tempah) dan RM2,500 lagi untuk bayar peguam, selebihnya saya tambah guna wang simpanan sendiri dan dikeluarkan dari akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Anis Hafiza mendakwa dia menggunakan wang hantaran untuk pelaburan jangka masa panjang.

Bagi pelabur kecil itu, terpulang kepada netizen sama ada mahu menggunakan wang hantaran mengikut keutamaan atau kehendak mereka.

Tambah Anis Hafiza, dia tidak berniat untuk mempersendakan golongan muda yang bergaji kecil tetapi mengakui telah menggunakan bahasa pasar yang dianggap kasar bagi segelintir netizen.

Wanita itu turut menafikan bahawa tindakannya memuat naik beberapa tweet yang berunsur provokasi adalah sebagai satu strategi pemasaran untuk menarik orang ramai menyertai seminar yang dihadiri olehnya.

"Tweet tersebut bukan strategi pemasaran. Cuma bila orang dah alang-alang kecam, saya tolong promosikan sahaja," ujarnya.

viral Twitter, beli rumah, gaji kecil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain