suria

Waris Mangsa Kebakaran Tahfiz Terima Bantuan

Shahidan menyerahkan sumbangan kepada Emmi Farizah Abd Aziz, ibu kepada dua orang anak pada Majlis Penyerahan bantuan Wang ihsan Kepada Waris Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jumaat. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Jumaat menyampaikan bantuan wang ihsan berjumlah RM127,000 kepada semua waris mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, di sini, lebih dua bulan lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyampaikan bantuan itu berkata setiap waris kepada mangsa yang meninggal dunia menerima bantuan RM5,000, manakala waris kepada mangsa yang cedera menerima RM2,000.

"Saya bagi pihak kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) menyampaikan sedikit sumbangan kepada waris-waris mangsa untuk meringankan beban yang ditanggung.

"Kita juga berharap dan berdoa semoga waris-waris mangsa bersabar dan reda dengan ujian ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu di Surau Darul Ittifaqiyah di sini Jumaat.

Sementara itu, waris mangsa yang ditemui melahirkan rasa terima kasih dan bersyukur atas bantuan kerajaan itu serta pihak lain yang tidak putus-putus menyampaikan sumbangan sejak tragedi menyayat hati itu berlaku.

Bagi Emmi Farizah Abd Aziz, 37, yang kehilangan dua anaknya dalam kejadian itu iaitu Azkar Abiedi F Zaska, 11, dan Azkar Dariemi F Zaska, 8, sebahagian bantuan yang diterima itu akan digunakan untuk membeli naskhah al-Quran untuk diwakafkan selain menderma kepada pusat-pusat tahfiz yang lain.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pemberi bantuan dan sumbangan dan saya menganggap semua bantuan yang diterima adalah rezeki Allah SWT yang dikurniakan kepada anak-anak saya yang telah meninggal dunia," katanya.

Seorang lagi waris, Nor Faizah Aripshah, 42, pula berkata bantuan yang diterima kebanyakanNYA disimpan dan digunakan untuk rawatan anaknya Muhamad Shahir Sarifuddin, 11, yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

"Memang banyak bantuan yang diterima memang khas untuk dia, untuk masa depan dia dan digunakan untuk ubat-ubatan, untuk rawatan kerana kecederaan yang dialami iaitu kesan terbakar pada badan yang memerlukan krim khas yang agak mahal," katanya.

Sementara itu, seorang lagi waris Norazlin Abd Aziz, 36, berkata beliau amat bersyukur kerana sudah dapat meneruskan kehidupan seperti biasa selepas tragedi yang meragut nyawa anaknya Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan, 10.

"Bagaimana pun rasa sedih dan teringatkan arwah tetap ada, tetapi saya teruskan kehidupan seperti biasa demi keluarga dan dua anak saya yang lain," katanya.

Dalam kejadian pada 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu terkorban, manakala enam pelajar mengalami kecederaan apabila terperangkap dalam premis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar, pada pukul 5.15 pagi. - BERNAMA 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain