suria

Husam Sahkan Anak Direman Tapi...

Husam Musa.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa mengakui tahu anaknya direman atas tuduhan memiliki dadah.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dimaklumkan oleh polis berhubung perkara itu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau menerima imej laporan sebuah portal berita melalui aplikasi mudah alih WhatsApp pada petang Ahad yang dihantar oleh seorang individu.

“Saya hanya mendapat tahu anak saya, Ahmad Syafi direman di Mahkamah Kota Bharu atas tuduhan memiliki pil kuda, pukul 5.22 petang tadi.

“Sehingga kini, tiada makluman rasmi oleh polis dibuat kepada saya mengenai penahanan itu. Saya juga tidak diberitahu di mana anak saya ditahan," katanya di laman Facebooknya pada Ahad malam.

Husam berkata, beliau hanya diberitahu oleh seorang jiran di tempat anaknya bahawa penahanan tersebut dibuat oleh sekumpulan lelaki pada petang Sabtu.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai isu ini selepas dapat menemui anak saya pada waktu terdekat jika diizinkan polis serta mendapat kedudukan sebenar isu ini dari pihak polis,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan anak lelaki seorang Adun di Kelantan ditahan polis kerana dipercayai memiliki 200 biji pil kuda di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas - Salor, Kampung Jelutong di Kota Bharu pada Sabtu.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan mengenai tangkapan tersebut dan berkata suspek kini direman selama empat hari bermula Ahad untuk membantu siasatan.

Husam Musa

Artikel Sebelum

Mayat Tanpa Kepala Ditemui

Artikel Berikut

Artikel Lain