suria

Mayat Tanpa Kepala Ditemui

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Mayat tanpa kepala dijumpai tiga nelayan tempatan di perairan Pulau Kapas, di sini, petang Ahad.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli dalam satu kenyataan mayat yang dipercayai lelaki itu di jumpai dalam keadaan separuh reput, tanpa pakaian dan tidak mempunyai pengenalan diri pada jarak 10.8 batu nautika dari Pulau Kapas.

Menurut beliau sebaik menerima panggilan, bot maritim yang dalam perintah pengoperasi dan masih berada di laut telah bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 5.30 petang Ahad.

Namun ia mengambil masa yang agak lama untuk menemui mayat tersebut berikutan keadaan laut bergelora.

Mayat berkenaan kemudian dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) DM 9 Pulau Kambing pada 6.30 petang dan telah diserah kepada Polis Daerah Marang untuk siasatan lanjut.

Semalam, satu mayat tanpa identiti dan masih memakai seluar trek hitam turut dijumpai nelayan tempatan pada kedudukan 11 batu nautika dari Pulau Kapas lebih kurang pukul 5.00 petang. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain