suria

“Kereta Saya Sebenarnya Hilang Ke Tak?”

Kereta Nur Farhana ditemukan semula pada Isnin selepas didakwa hilang pada Jumaat lalu.

PETALING JAYA: Pelik tapi benar, itulah perasaan yang dialami oleh seorang jurutera yang 'kehilangan' kenderaannya di  bangunan tempat letak kereta Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Setelah kisah kehilangan keretanya tular di laman sosial, wanita tersebut terkejut dan gembira apabila menerima khabar kenderaan itu ditemukan semula pada Isnin dalam keadaan selamat.

Nur Farhana Mohammad Adam, 27, memberitahu mStar Online bahawa pihak polis telah menghubunginya bagi memaklumkan perkembangan kes tersebut yang mana dia telah membuat laporan polis sebaik sahaja mendapati keretanya hilang.

Nur Farhana berkata, walaupun bersyukur menerima khabar gembira itu, dia berasa pelik apabila keretanya ditemukan betul-betul di petak asal di mana ia hilang.

Artikel Berkaitan: "Marah Pun Bukan Dapat Balik"


'Posting' mengenai kes kecurian kereta milik Nur Farhana dimuat naik oleh rakannya ke laman Facebook pada malam Jumaat lalu.

"Saya ke bangunan tersebut untuk melihat keadaan kereta yang sudah dijumpai, pihak polis dan pengurusan bangunan juga ada bersama ketika itu untuk memastikan kereta dalam keadaan baik.

"Saya agak hairan kereta dijumpai di tempat asal walhal saya dan pihak pengurusan sudah mengelilingi aras tersebut beberapa kali pada hari kejadian," katanya ketika dihubungi, Jumaat.

Menurutnya Nur Farhana, secara keseluruhan keretanya berada dalam keadaan baik dan masih boleh digunakan seperti biasa.

"Cuma saya sendiri keliru, kereta saya ni sebenarnya hilang ke tak walaupun saya yakin dah periksa dengan pihak keselamatan pada hari kejadian dan ia memang tiada di situ," katanya.

Jelasnya, dia tidak berniat untuk menyalahkan atau menyusahkan mana-mana pihak apabila menyebarkan maklumat mengenai kehilangan keretanya pada hari tersebut.

"Saya ingin memohon maaf serta berterima kasih kepada polis dan pihak pengurusan MRT kerana berjaya menemukan semula kereta saya," katanya.

Terdahulu, mStar Online melaporkan seorang wanita terpaksa  menanggung kerugian apabila kenderaannya yang diletakkan di bangunan tempat letak kereta MRT Sungai Buloh hilang pada Jumaat lalu.

Lebih dikesalkan, apabila kereta tersebut hilang dalam sebuah bangunan yang sentiasa diawasi oleh pengawal keselamatan dan mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV), selain urusan keluar-masuk ke kawasan itu ditetapkan hanya menggunakan kad Touch N Go.

Nur Farhana meninggalkan kereta di kawasan itu pada pukul 7.30 pagi kerana ingin menaiki MRT ke tempat kerja yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, jurucakap MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) ketika dihubungi berkata, pihaknya turut gembira kerana kereta tersebut sebenarnya tidak hilang dan tidak berhasrat untuk memanjangkan kes itu.

"Bagus juga pemilik kereta sendiri telah menghubungi kamu (mStar Online). Kami fikir tidak perlu untuk mengeluarkan sebarang kenyataan kerana kes sudah ditutup," katanya.

MRT Sungai Buloh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain