suria

Wanita Terima Tujuh Jahitan Di Dahi

Kejadian berkenaan turut tular di Facebook.

KUALA KRAI: Seorang wanita di Kampung Temalir, di sini, menerima tujuh jahitan pada kiri dahi akibat terkena sabit yang dibaling suaminya.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, Selasa lalu itu dipercayai berlaku selepas mangsa yang juga seorang penoreh getah berselisih faham dengan suaminya.

Katanya, ketika kejadian, suspek seorang buruh berusia 36 tahun berada di luar rumah mengamuk serta membaling sabit ke arah isterinya.

"Punca pasangan ini bergaduh disebabkan masalah anak mereka.

"Suspek mengamuk dan membaling sabit sehingga terkena kening mangsa," katanya.

Ujarnya, mangsa berusia 35 tahun itu kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai.Menurut beliau, mangsa turut memaklumkan sering dipukul dan pernah diugut bunuh oleh suaminya dua bulan lalu.

"Mangsa dipukul serta diugut selepas meminta cerai daripada suaminya.

"Bimbang kejadian serupa berulang, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai pada hari kejadian selain berhasrat mahu menuntut cerai daripada suaminya," katanya.

Tambah Abdullah, pihaknya kini sedang mengesan suspek untuk siasatan lanjut. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Kejadian itu turut tular di laman sosial Facebook. - Sinar Online

jahitan, mangsa pukul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain