suria

Enam Penuntut UPNM Mengaku Tak Bersalah

Zulfarhan Osman.

KUALA LUMPUR: Enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh  rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mei lepas.

Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakim Mohd Ali, yang kesemuanya  berusia 21 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah.

Lima daripada mereka iaitu, Muhammad Akmal, Azamuddin, Muhammad Najib,  Muhammad Afif Najmudin  dan Mohamad Shobirin didakwa bersama-sama membunuh Zulfarhan Osman, 21, di Bilik 04-10, Blok penginapan asrama Jebat UPNM, Kem Perdana Sungai Besi, Cheras, di sini antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakim pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan lima tertuduh membunuh mangsa di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullah dan Nur Akmal Farhan Aziz manakala peguam Mohd Fadly Hashim, Nurul Syuhada Abdullah, Zamri Idrus dan Joshua Tay mewakili semua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 13 November untuk sebutan semula kes.

Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun, dipercayai akibat didera selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya.

Mangsa dilapor mengalami kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap. - BERNAMA

UPNM, Zulfarhan Osman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain