suria

Lagi Insiden Curi Coli

Rakaman video menunjukkan lelaki tersebut menyembunyikan coli yang dicuri di dalam seluarnya.

PETALING JAYA: Kegiatan menyelongkar mesin basuh di kedai dobi layan diri semata-mata untuk melampiaskan nafsu dengan mencuri pakaian dalam wanita bukan lagi perkara baru.

Terkini, rakaman video berdurasi 55 saat yang dikongsi pemilik Dobi Depot di Kuala Pilah memaparkan seorang lelaki membuka salah sebuah mesin basuh di kedai tersebut.

Dalam video tersebut, lelaki yang berbaju kemeja-T hitam dilihat menyelongkar sebuah mesin basuh sambil memerhatikan keadaan sekeliling sebelum bertindak mencuri pakaian dalam.

Suspek kemudiannya menyembunyikan pakaian dalam yang dipercayai coli di dalam seluarnya sebelum bertindak meninggalkan premis tersebut.

Semasa kejadian, tiada pelanggan di kedai dobi tersebut.

Insiden dipercayai berlaku pada pukul 8.34 malam, 21 Oktober lalu.

Susulan insiden itu, Dobi Depot menerusi kenyataan di laman Facebooknya mengingatkan golongan wanita supaya berhati-hati ketika mendobi dan sentiasa mengawasi pakaian mereka.

"Kegiatan mencuri pakaian dalam wanita di kedai dobi layan diri semakin menjadi-jadi sekarang ini dan terkini terjadi di Dobi Depot, Kuala Pilah pada 20 Oktober 2017 lalu.

"Pihak kami ingin mengingatkan supaya kaum wanita mengambil langkah berhati-hati ketika mendobi dan sentiasa mengawasi pakaian anda serta peka dengan persekitaran keliling," katanya.

Pihak pengurusan Dobi Depot turut menggesa golongan wanita amnya supaya ditemani lelaki ketika mendobi pada waktu malam bagi mengelak kejadian tidak diingin, termasuk disamun.

Pada Julai lalu, netizen turut digemparkan dengan insiden seorang lelaki yang dikatakan berpangkat 'pak cik' yang didakwa telah menyelongkar beberapa mesin pengering di sebuah kedai dobi layan diri di Shah Alam untuk mencari pakaian dalam wanita.


Dobi Depot, curi coli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain