suria

Pendikir Tersohor Meninggal Dunia

Megat Nordin.

KOTA BHARU: Pendikir tersohor Kelantan Megat Nordin atau nama sebenarnya Nor Din Yusoff meninggal dunia pada Jumaat selepas beberapa bulan menderita sakit bengkak hati.

Nor Din, 56, menghembuskan nafas terakhir pukul 11.50 pagi di kediaman ayahnya di Kampung Kenali, Kubang Kerian di sini di sisi isteri, anak-anak dan adik-beradiknya.

Adiknya Noriah Yusoff, 47, berkata Allahyarham yang kebetulan meninggal dunia pada tarikh kelahirannya hari ini meninggalkan isteri Khorulnisa Mohd Diah, 48, dan tujuh anaknya selepas dibenarkan pulang ke rumahnya setelah menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, beberapa hari lepas.

"Arwah kerap meminta kebenaran daripada pihak HRPZII untuk pulang ke rumah sejak seminggu lepas.

"Kami semua akur dan mengikut kemahuannya yang ingin berehat di rumah dengan membawa pulang arwah beberapa hari lepas. Pagi tadi selepas dimandikan isterinya, arwah kelihatan lemah, tidak bercakap dan tidak mahu makan, tiba-tiba sesak nafas sebelum meninggal dunia," katanya.

Noriah berkata jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenali di sini selepas asar bersebelahan kubur anak sulung arwah yang meninggal Ogos lepas akibat jantung berlubang.

Allahyarham Nor Din dikesan menghidap penyakit bengkak hati setahun lepas dan tahap kesihatannya susut secara mendadak sejak tiga bulan lepas selain perutnya semakin membengkak menyebabkan arwah hanya mampu terbaring.

Anak sulung daripada 13 beradik itu terlibat dalam seni dikir barat sejak 1980-an dan popular dengan lagu ‘Tunggu-Tunggu Tok Kelik' dan ‘Ambo Raso Berkene' selain pernah menjadi peserta program realiti Kilauan Emas 4 pada 2014.

Noriah berkata arwah pernah berpesan agar masyarakat di luar sana tidak memainkan beberapa lagu dikirnya termasuk lagu ‘Titih Pesaka' dan ‘Dewi Menjelma'. - BERNAMA

pendikir tersohor, Megat Nordin

Artikel Sebelum

Intipati Bajet 2018

Artikel Berikut

Artikel Lain