suria

Pencuci Kereta Didakwa Lakukan Persetubuhan Luar Tabii, Cabul Wanita

MELAKA: Seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang wanita, bulan lepas.

Abdul Rauf Singaravelu, 28, dari Parit Jawa, Muar, Johor mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan  dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan wanita berusia 40 tahun itu di sebuah rumah di Taman Bukit Melaka di sini, antara 11.30 malam dan 1 pagi, 18 September lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bapa seorang anak itu juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan wanita tersebut yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di tempat, waktu dan hari yang sama.

Bagi pertuduhan berkenaan Abdul Rauf didakwa mengikut 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban tidak menawarkan sebarang jaminan kerana perbuatan tersebut merupakan kesalahan serius dan dikhuatiri tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi.

Shazreen Nadia turut memohon tarikh perbicaraan kes diselaraskan mengikut pertuduhan yang dihadapi tertuduh pada 28 September lepas di bawah Seksyen 377(CA) dan 323 Kanun Keseksaan masing-masing atas kesalahan melakukan seks di luar tabii serta mencederakan mangsa sama di tempat, hari dan waktu sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan dia perlu menanggung seorang anak berusia setahun lapan bulan dan kakak serta adiknya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 dan 23 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes. - BERNAMA

cabul, pencuci kereta

Artikel Sebelum

Lokap Tempatmu!

Artikel Berikut

Artikel Lain