suria

Hapus GST Antara Intipati Bajet Harapan 2018

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan berikrar akan menghapuskan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seandainya mereka mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Tindakan itu merupakan antara intipati pembentangan Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan oleh Harapan di Bangunan Sementara di Parlimen pada Rabu.

"Pakatan Harapan komited untuk menghapuskan GST melalui penarafan sifar tetapi kami akan mengekalkan sistem pelaporan.

"Kami berhasrat untuk kembali ke kaedah pra-GST mengenai perkara cukai penggunaan," kata Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong  Chen yang mengetuai jawatankuasa Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pakatan Harapan, penghapusan GST tidak akan menyebabkan kerugian hasil yang teruk sebanyak RM42 bilion seperti yang didakwa oleh kerajaan BN.

"Sebaliknya, kerugian hasil fiskal langsung yang terkawal adalah sebanyak RM 14 bilion,"  demikian menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, untuk 2018, Pakatan Harapan bertekad untuk menghapuskan sebanyak  RM20 bilion daripada pembaziran dan rasuah.

Sebahagian daripada pembaziran dan rasuah ini termasuklah pemotongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri, menurunkan peruntukan RM20.80 bilion ke paras boleh diterima iaitu RM8.40  bilion.


Artikel Sebelum

Jom Makan Durian Di Bentong

Artikel Berikut

Artikel Lain