suria

OSC Lulus Projek Tanjung Bungah

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengakui permohonan untuk membina projek perumahan di lokasi tanah runtuh di Tanjung Bungah sebelum ini tidak diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Namun Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata kelulusan untuk projek tersebut diberikan  Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) yang terdiri lebih daripada 20 agensi teknikal.

Beliau berkata OSC yang bertanggungjawab meluluskan pelan pembangunan hartanah di pulau itu mengambil pandangan lebih daripada 20 agensi luaran dan dalaman sebelum memberikan kelulusan.

"JAS mungkin membantah pelan itu tetapi selepas mempertimbangkan pandangan daripada semua agensi dalam OSC, keputusan dibuat untuk meluluskan projek tersebut," kata Chow pada sidang media di Komtar pada Isnin.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif yang mempengerusikan sidang media itu berkata kelulusan merancang tanah telah dibentangkan pada 14 Mei 2015 dan diluluskan dengan syarat pada 6 Jun 2015.

"Permulaan kerja diberikan pada 18 Januari 2016.

"Pembangunan itu mematuhi 'Garis Panduan untuk Pembangunan Lereng Bukit 2012'," katanya.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian awal, pihak majlis mengesyaki berlaku kecuaian, salah laku dan salah urus di tapak pembinaan tersebut.

Bagaimanapun Chow menegaskan ia adalah kemalangan di tapak pembinaan.

Beliau turut menasihati MBPP supaya membuat laporan polis berhubung sebarang kemungkinan wujud kecuaian profesional.

Pada Sabtu lalu, seramai 11 pekerja binaan maut dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini.

Ketika kejadian kesemua mangsa sedang bekerja di bahagian bawah bangunan yang sedang dibina itu.

Difahamkan kerja-kerja yang sedang dijalankan ialah pembinaan struktur tingkat bawah tanah bangunan 50 tingkat projek milik syarikat swasta itu.

Tanjung Bungah, tanah runtuh, OSC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KJ Mengamuk Di Instagram?

Artikel Lain