suria

Lemang To’ki Akui Kelemahan, Akur Diarah Tutup

Mazlan terpaksa meminta agar para pelanggan yang telah membuat tempahan awal untuk mengunjungi cawangan Lemang To'Ki 2 sementara kerja-kerja pembersihan dilakukan di Lemang To'Ki 1. - Facebook

PETALING JAYA: Pemilik restoran lemang popular, Lemang To'Ki yang diarahkan tutup gara-gara tidak memenuhi aspek kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Pemiliknya, Mazlan Ramli ketika dihubungi mStar Online mengakui arahan tersebut memberi tamparan hebat kepadanya dan terpaksa akur perniagaan yang diusahakan di Bentong, Pahang, itu terpaksa ditutup buat sementara waktu.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa pihak kami akur dengan kelemahan sendiri sehingga menyebabkan Lemang To'Ki 1 (Chamang) terpaksa ditutup.

"Pihak kami mengambil serius tentang arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan berjanji untuk mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Lemang To'Ki memuat naik status di laman Facebook rasmi mereka untuk menjelaskan keadaan kepada para pelanggan.

Kata Mazlan, ketika pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguatkuasa sekitar pukul 4 petang Jumaat, kakitangan di cawangan Lemang To'Ki 1 tidak sempat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di dapur kerana baru pulang mengerjakan solat Jumaat dan perlu melayan kunjungan pelanggan yang terlalu ramai ketika itu.

Jelasnya, jumlah pengunjung meningkat berbanding hari biasa berikutan musim cuti sekolah.

Selepas arahan penutupan tersebut dikeluarkan, pihaknya segera menghubungi para pelanggan yang telah membuat tempahan awal untuk menukar lokasi ke cawangan Lemang To'Ki 2 (Karak) yang hanya terletak lima kilometer dari Lemang To'Ki 1.

Pekerja Lemang To'Ki membersihkan bahagian dapur.

Dalam pada itu, Mazlan bercadang untuk menambah jumlah kakitangan pada masa akan datang supaya kebersihan dan layanan terbaik dapat diberikan kepada pelanggan.

Terdahulu,  sebuah akhbar tempatan melaporkan tentang arahan penutupan sebuah restoran menjual lemang yang popular di Bentong, Pahang selama dua minggu bermula Jumaat kerana aspek kebersihan yang kurang memuaskan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Sha'ari Ngadiman berkata, notis itu yang dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 adalah bagi memberi peluang kepada pemilik restoran untuk melakukan kerja pembersihan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Lemang To'Ki

Artikel Berikut

Tol Tak Naik Undang Bahaya

Artikel Lain