suria

“Jika Benar Sekalipun Dr Mahmud Maut…”

Hishammuddin Tun Hussein.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan masih menunggu pengesahan daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung laporan kematian militan Malaysia Dr Mahmud Ahmad dalam pertempuran dengan tentera di Bandar Marawi, Filipina, pada Rabu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun pihak berkuasa tertinggi Filipina telah mengesahkan kematian Mahmud, tetapi BSPP ATM masih belum menerima laporan berhubung perkara ini.

“Saya hanya akan bergantung pada sumber risikan BSPP ATM untuk mengesahkan perkara berkenaan dan kami sedang menyemak.

“Jika benar sekalipun Mahmud maut dalam pertempuran itu, ia tidak mengubah apa pun. Ancaman militan ini akan berterusan jika ia tidak ditangani,” katanya dalam sidang media selepas sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50D) Kementerian Pertahanan, di Wisma Perwira ATM, di sini.  

Hishammuddin berkata, pihaknya konsisten menyokong segala usaha untuk membanteras penyebaran fahaman Daesh di rantau ini.

“Oleh itu, kami telah mewujudkan Aturan Kerjasama TIga Pihak, Rondaan Maritim Tiga Pihak dan Rondaan Udara Tiga Pihak di Laut Sulu untuk menangani isu berkenaan.

“Selain itu, saya juga akan ke Manila pada minggu depan bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) yang antara lain akan membincangkan isu pengganas dan keganasan di Marawi," katanya.

Turut hadir Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai moderator TN50D, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Darat Tan Sri Zulkiple Kassim dan Panglima Tentera Udara Tan Sri Affendi Buang. - Bernama

Artikel Sebelum

Kapten Izham CEO Baharu MAB

Artikel Berikut

Artikel Lain