suria

Buka Mata Selepas Derma Organ Anak

Tiruna dan isteri, S. Mala menunjukkan kad, selepas berikrar untuk menderma organ mereka.

GEORGE TOWN: Seorang pemandu teksi, A. Tiruna, menyedari nilai sebenar menyelamatkan nyawa orang lain selepas organ anaknya didermakan pada tahun lalu.

Tiruna, 50, berkata dia dan isterinya sedih dengan pemergian anak sulungnya, T. Kirana Arasu, 20, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada November tahun lalu.

"Kami memutuskan untuk mendermakan organnya walaupun kami tidak berapa tahu sangat mengenai prosedur itu. Ramai yang menyokong tetapi ada juga membantah.

"Kami terima surat daripada Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) yang memberitahu organ dan tisu anak saya boleh menyelamatkan dan membantu lebih banyak nyawa," katanya pada Minggu Kesedaran Pendermaan Organ.

Menurut Tiruna, kurangnya kesedaraan umum mengenai derma organ dan bagaimana ia dapat membantu menyelamatkan nyawa.

"Saya dan isteri memutuskan untuk menjadi penderma organ. Kami mahu memberi galakan kepada orang ramai supaya menjadi penderma organ," katanya.

Majlis itu dianjurkan oleh Pusat Transplan Kebangsaan di Hospital Penang dengan kerjasama St John Ambulance Pulau Pinang.

Pengarah pusat tersebut, Datuk Dr Zahari berkata, walaupun jumlah penderma organ meningkat tetapi jumlah sebenarnya menurun sejak beberapa tahun.

"Berdasarkan statistik dari (NTRC) pada 31 Julai, seramai 393,221 yang mendaftar berikrar untuk menjadi penderma organ, sebaliknya jumlah penderma yang sebenar berkurangan.

"Pada 2015, hanya 71 organ yang didermakan, 39 organ pada 2016 dan untuk tahun ini hanya 17 organ didermakan.

"Kebanyakan keluarga penderma tidak mengetahui sekiranta anak mereka adalah salah seorang daripadanya maka pengebumian dijalankan tanpa pengetahuan pihak hospital.

"Bila mereka mahu menjadi penderma organ, mereka perlu memberitahu keluarga.

"Inilah merupakan salah satu punca terdapat jurang perbezaan yang besar antara pengikrar untuk mendermakan organ dan penderma yang sebenar," katanya.

Artikel Sebelum

Kedai Dobi 'Lubuk' Penyamun

Artikel Berikut

Artikel Lain