suria

Peruntukan RM1.5 Bilion Diseleweng

Suspek wanita menutup mukanya ketika dibawa keluar dari mahkamah majistret, Putrajaya pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Selama enam tahun antara 2009 dan 2015, sejumlah RM1.5 bilion peruntukan kerajaan pusat yang disalurkan melalui sebuah kementerian untuk melaksanakan projek luar bandar di Sabah telah diseleweng.

"Kami sedang menyiasat dengan lebih lanjut individu terlibat," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad selepas diberi taklimat di pejabat SPRM Sabah mengenai siasatan tersebut.

Individu yang ditahan bagi membantu siasatan adalah Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony, 46, orang kuat bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang keluar Umno pada 2015 dan menubuhkan Parti Warisan Sabah.

Anthony, ahli perniagaan yang terjun ke dunia politik ditahan pada Khamis dan telah direman.

Seorang kontraktor berusia 52 tahun turut ditahan dekat sini manakala suspek ketiga, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga timbalan setiausaha di kementerian tersebut ditahan di Putrajaya.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama lima hari oleh mahkamah majistret.

Suspek wanita pula direman selama enam hari oleh sebuah mahkamah di Putrajaya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata mereka turut menyiasat lebih 60 syarikat yang diberi projek luar bandar berkaitan air, elektrik dan jalan raya di Sabah.

Sesetengah syarikat tidak boleh dikesan tetapi beliau tidak mendedahkan jumlah pengarah atau pemilik syarikat yang telah disoal-siasat.

"Kami perlu melakukan banyak kerja.

"Kami sudah mengerahkan pegawai untuk mencari saksi kes ini," katanya.

SPRM, penyelewengan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain