suria

Rantai Anak Pada Tong Gas, Anggota Tentera Ditahan

KUANTAN: Seorang anggota tentera ditahan kerana dipercayai  mengikat anaknya yang berusia sepuluh tahun pada tong gas dengan menggunakan rantai di sebuah rumah di Bandar Indera Mahkota di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, perbuatan suspek berusia 32 tahun itu terbongkar selepas pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ke rumah itu pada pukul 10 pagi semalam.

Suspek yang berkhidmat di Kem Batu 10 di sini dipercayai berbuat demikian selepas mangsa, anak ketiga daripada lima beradik, itu ponteng sekolah, katanya.

“Polis membuat pemeriksaan di tingkap belakang rumah selepas tiada jawapan apabila pintu hadapan rumah diketuk dan menjumpai mangsa yang hanya berseluar diikat pada tong gas berwarna hijau dengan menggunakan rantai dan kunci mangga.

“Polis memecah masuk dan cuba mengejutkan mangsa namun kanak-kanak itu tidak sedarkan diri menyebabkan polis terpaksa memotong rantai yang diikat  lehernya," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Abdul Aziz menambah mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan bagi kecederaan di leher.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada isteri suspek mengetahui perbuatan suaminya.

Suspek kini ditahan reman selama seminggu di lokap IPD Kuantan dan siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 iaitu mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain