suria

Pasaran Rumah RM250,000 Ke Atas Kekal Lembap

Lambakan hartanah mewah menyebabkan 83 peratus unit yang tidak terjual berada dalam kategori harga RM250,000 dan ke atas. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah mewah kekal lembap berikutan 80 peratus daripada pelancaran baharu bagi suku pertama tahun ini merupakan kediaman berharga lebih RM250,000 yang sebaliknya hanya mampu dimiliki oleh 58 peratus isi rumah Malaysia.

Ketika berkongsi perkara itu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata lambakan hartanah mewah itu menyebabkan 83 peratus unit yang tidak terjual itu dalam kategori harga RM250,000 dan ke atas.

"Berbanding tempoh suku pertama 2012, ada sebanyak 54,000 kediaman yang tidak terjual dengan hartanah mewah sebanyak kira-kira 19,000 (unit).

Ketika ini, 108,000 unit daripada 130,000 unit yang tidak terjual itu merupakan kediaman mewah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Hartanah dan Perumahan Kebangsaan ke-20 di sini pada Jumaat.

Mengulas selanjutnya, Johari berkata, walaupun permintaan tinggi terhadap rumah mampu milik, namun hanya 24 peratus daripada penawaran baharu melibatkan kategori itu berbanding permintaan sebanyak 42 peratus.

"Median harga rumah itu jelas menunjukkan bahawa ia di luar kemampuan kebanyakan rakyat dan sebahagian besarnya disebabkan oleh ketakpadanan kasar antara penawaran dan permintaan rumah. Ia juga disebabkan wujudnya jangkaan berbeza antara isi rumah serta pihak pemaju," katanya.

Dari segi pembiayaan pula, Johari berkata aspek itu terus dikuasai oleh hartanah berharga kurang RM250,000 yang mewakili 56 peratus daripada jumlah pinjaman tertunggak manakala pinjaman perumahan berharga antara RM250,000 dan RM500,000 pula sebanyak 25 peratus.

"Pembeli kali pertama merupakan kira-kira 72 peratus daripada jumlah peminjam pinjaman perumahan pada 2016," katanya.

Bagi tempoh suku pertama tahun ini, kadar kelulusan pinjaman perumahan secara menyeluruh pula kekal tinggi iaitu mencecah 74.2 peratus. - Bernama

pasaran rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain