suria

Expo Kerjaya: AirAsia, Grab Nafi Tawar Kerja

PETALING JAYA: Susulan pendedahan demi pendedahan dalam kalangan netizen mengenai Jobsifu.com Malaysia, penganjur Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 hujung minggu lalu, kini syarikat yang didakwa menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan tampil bersuara.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd (AirAsia) menerusi satu kenyataan pada Rabu menafikan penglibatan mereka dalam expo tersebut.

"AirAsia ingin mengesahkan bahawa syarikat ini tidak mengambil bahagian dalam expo kerjaya anjuran Jobsifu.com Malaysia yang diadakan di Alor Setar, Kedah bermula 30 September hingga 1 Oktober lalu," demikian menurut kenyataan itu.

Malah, AirAsia turut mengesahkan penganjur expo tersebut menggunakan logo syarikat berkenaan tanpa kebenaran dan persetujuaan mereka.

Justeru, AirAsia menggesa orang ramai yang curiga mengenai wujudnya penipuan menggunakan jenama syarikat itu supaya membuat laporan menggunakan saluran rasmi syarikat berkenaan.

"Orang ramai boleh membuat laporan atau berhubung dengan AirAsia menggunakan saluran komunikasi rasmi syarikat itu di www.facebook.com/airasia; www.twitter.com/airasia dan www.airasia.com/ask," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kata Expo Kerjaya Tapi ...

Selain itu, Grab, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan e-hailing turut menyangkal terlibat menawarkan peluang pekerjaan seperti yang diuar-uarkan dalam iklan expo tersebut.

"Kami tidak membuat sebarang promosi tawaran pekerjaan ketika ini," kata Pengurus Komunikasi Grab Malaysia, Regina Robin.

Namun, beliau berkata, syarikat tersebut sekadar menawarkan kod promosi atas permintaan penganjur untuk mengurangkan kesesakan lalu-lintas ke lokasi ekpo itu.

"Kami hanya diminta untuk menyediakan kod promosi bagi kemudahan pengangkutan sahaja, bukan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan," katanya.

Terdahulu, Jobsifu.com Malaysia dikecam selepas seorang gadis mendedahkan pengalamannya umpama indah khabar dari rupa semasa menghadiri ekpo tersebut.

Gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Awin mendakwa kunjungannya ke expo sebenarnya sesuatu yang sia-sia dan tidak seperti yang diharapkan.

Tindakan penganjur yang menjual borang permohonan kerja yang berharga RM10 setiap satu kepada graduan yang hadir disifatkan sebagai penipuan yang dilakukan secara halus demi mengaut keuntungan.


AirAsia, Grab, Jobsifu.com Malaysia

Artikel Berikut

"Mereka Masih Menangis"

Artikel Lain