suria

Bunuh Jong-nam: Saya Didatangi Lelaki Gempal - Polis

Kim Jong-nam.

SHAH ALAM: Seorang anggota polis yang ditugaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia didatangi seorang lelaki 'berbadan gempal dan berwajah tembam' yang mahu membuat laporan polis selepas mukanya disapu sejenis bahan yang tidak diketahui.

Bahan tersebut kemudiannya dikenali sebagai agen saraf VX.

Lans Koperal Mohd Zulkarnain Sanudin, 31, berkata, dia tidak mengetahui latar belakang mangsa dan tidak bertanyakan dengan lebih lanjut.

"Saya melihat ada cecair di bahagian mukanya dan matanya bertukar kepada merah" kata Zulkarnain.

Mohd Zulkarnain merupakan saksi pertama bagi kes pembunuhan berprofil tinggi Kim Jong-nam di Makhamah Tinggi di sini, Isnin.

Jong-nam merupakan abang tiri kepada pemimpin korea utara Kim Jong-un, maut di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

Dua wanita, masing-masing warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, didakwa bersalah kerana membunuh.

Mohd Zulkarnain yang bertugas membuat rondaan di KLIA2 berkata, dia didatangi lelaki tersebut bersama seorang wanita bernama Juliana yang bekerja di kaunter pertanyaan lapangan terbang.

"Juliana memberitahu bahawa muka lelaki itu disapu sesuatu oleh dua wanita," kata Zulkarnain.

Anggota polis itu berkata, Jong-nam mahu ke klinik terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis.

"Saya membawa dia ke klinik Menara di tingkat 2," katanya.

Menurut Mohd Zulkarnain, Jong-nam memberitahu bahawa "Tuan, jalan perlahan, mata saya kabur, saya tak boleh nampak". 

Beliau kemudian memperlahankan langkah dan membiarkan lelaki itu berjalan di hadapannya menuju ke klinik.

Setibanya di klinik, Mohd Zulkarnain yang kemudian menunggu di luar dapat melihat kakitangan klinik melakukan rawatan kecemasan ke atas mangsa.

"Bila saya masuk ke dalam, saya dapati mangsa telah bersandar di kerusi," tambah Zulkarnain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung.

Kim Jong-nam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain