suria

Tiga Pelajar Tahfiz Makin Pulih - Pengarah HKL

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar yang terselamat dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah semakin pulih apabila mampu bertindak balas dan berkomunikasi.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaininah Mohd Zaid berkata, tiga pelajar terlibat, Muhammad Shahir Sharifuddin, 11; Zunnun Misri Masrun and Indra Kurniawan, masing-masing 12 tahun menjalani rawatan akibat melecur kira-kira 20 peratus pada badan, selain kecederaan lain.

"Mereka semakin stabil, dapat bertindak balas dengan baik dan ceria," katanya.

Dr Zaininah berkata, Zunnun kini dapat bergerak sendiri ketika di katil, manakala Indra pula dapat memberi maklum balas ketika berbicara.

Muhammad Shahir pula dapat menjamah makanan dalam jumlah yang sedikit secara normal.

Dr Zaininah berkata, mereka bertiga dijangka dibenarkan pulang dalam masa dua minggu lagi, bergantung kepada tahap pemulihan masing-masing.

Pada 14 September lalu, kebakaran memusnahkan aras tiga pusat tahfiz berkenaan di Kampung Datuk Keramat di sini dan mengorbankan 21 pelajar dan dua warden.

Susulan itu, pada 16 September, tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun ditahan dan setakat ini dua remaja berusia 16 tahun telah dihadapkan ke mahkamah kerana tuduhan membunuh 23 orang.

Lima lagi remaja termasuk dua yang dituduh membunuh itu  juga didakwa kerana terlibat dalam penagihan dadah.

HKL, Darul Quran Ittifaqiyah

Artikel Sebelum

21 Pengikut Syiah Ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain