suria

Kawan Shahir Di ICU Mana? - Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyaksikan isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Datin Nor Faizah Aripshah dan Datuk Dr Sharifuddin Musa, ibu bapa kepada Mohd Shahir, antara mangsa yang selamat dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bulan lalu selepas merasmikan Tabung Terengganu For Rohingya 'Sekampit Beras Untuk Rohingya' di Wisma Yayasan Terengganu di Kampung Baru, Ahad.

KUALA LUMPUR: Sudah 18 hari tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini berlalu, seorang ibu menguatkan semangat menahan pilu merahsiakan pemergian 21 pelajar yang terkorban dalam insiden itu daripada pengetahuan anaknya.

Datin Nor Faizah Aripshah, 42, ibu kepada Mohd Shahir Shaharuddin,11, seorang daripada enam pelajar yang cedera dalam tragedi itu, berkata anaknya masih menganggap hanya dua guru tahfiz yang terkorban dan rakan-rakannya yang lain selamat.

"Shahir nak tahu kawan-kawannya yang lain berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) mana…dia nak tengok kawan-kawan. Dia tak tahu sebenarnya mereka dah tiada, dia juga tak tahu kebakaran itu tragedi  besar negara.

"Bila dia (Mohd Shahir) tanya mengenai kejadian, kami tak berani nak beritahu apa-apa…cuma kami bagi tahu, tunggu adik benar-benar pulih dahulu, baru kami cerita," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan daripada kerajaan Terengganu di sini, Ahad.

Menteri  Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyampaikan sumbangan itu kepada Nor Faizah dan suaminya yang berasal dari Marang, Terengganu.

Mohd Shahir, yang kini dalam proses pemulihan, masih dirawat di Unit Kebakaran Hospital Kuala Lumpur selepas dimasukkan ke ICU selama seminggu akibat melecur di bahagian badan.

Nor Faizah berkata Mohd Shahir turut mengalami trauma apabila teringat mengenai kejadian itu.

"Satu hari dia ada tengok berita mengenai kejadian, dia nangis dan trauma. Selepas itu, dia cakap dah tak nak tengok lagi berita mengenai kejadian kebakaran itu.

"Saya jaga dia setiap malam, ada masanya dia mengigau, terkejut dan bercakap mengenai tahfiz sebab  dia rasa seoalah-olah berada di tahfiz, bukannya hospital," katanya.

Nor Faizah berkata beliau bersyukur anaknya kini semakin stabil dan beransur pulih selepas hampir dua minggu dimasukkan ke ICU sejak 14 September lalu.

"Alhamdulillah, doktor cakap keadaannya semakin baik, mereka akan merawat bahagian kulit dahulu kemudian baru dibuat susulan bahagian pinggulnya yang retak. Kesihatan dalamannya juga bertambah baik, cuma dia tak boleh berdiri dan terlalu banyak bergerak.

"Nak bagi pulih semangatnya, saya panggil kawan dia datang untuk bagi sokongan, sebab dia minta nak jumpa kawannya…saya ada hubungi kawannya dan mereka datang melawat Mohd Shahir," katanya.

Dalam kejadian awal pagi 14 Sept lepas, 21 pelajar dan dua tenaga pengajar maut dalam kebakaran di tingkat tiga bangunan sementara pusat tahfiz berkenaan.

Susulan kejadian tersebut, polis menahan tujuh remaja lelaki berusia 11 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan kebakaran itu.

Khamis lalu, dua remaja berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas  pertuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru tahfiz berkenaan.-- Bernama 

Shahir, Darul Quran Ittifaqiyah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain