suria

Ibu Bapa Suspek Tak Didakwa

KOTA BAHRU: Ibu bapa tujuh suspek yang disyaki membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak akan didakwa di mahkamah seperti yang tersebar di media sosial, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata ibu bapa kesemua suspek tiada kaitan dengan kes itu yang kini disiasat sebagai kesalahan juvana.

"Kami menggesa semua pihak termasuk media supaya berhenti menyebarkan spekulasi bukan-bukan mengenai perkara ini. Kami akan kemukakan saranan kepada pihak pendakwaan berdasarkan hasil siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Polis Diraja Malaysia 2017 di Kampus Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini, petang Rabu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Mengenai siasatan itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan kertas siasatan berikutan kekangan, termasuk tidak boleh mengambil keterangan pelajar yang cedera di hospital.

"Kami juga menunggu laporan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), bomba, Jabatan Kimia dan forensik, yang memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan.

"Bagaimanapun, kertas siasatan ini akan disiapkan secepat mungkin memandangkan kes ini sudah menjadi 'high profile'," katanya.

Mengenai perkembangan terkini berhubung isu kebocoran maklumat, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Namun katanya, keterangan anggota dan pegawai polis yang terbabit sudah diambil termasuk merampas telefon bimbit mereka.

kebakaran, tahfiz

Artikel Berikut

Keadaan Anwar Terkawal

Artikel Lain