suria

Cadangan Tiada Tindakan Ke Atas Bekas TKP Operasi JPJ Ditolak - Saksi

Yusoff Ayob.

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai penyiasat pada Rabu memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau ada mengesyorkan supaya tiada tindakan diambil  terhadap bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob yang didakwa memandu di lorong kecemasan, tahun lepas.

Zailani Zainal Abidin berkata beliau mengesyorkan perkara itu kepada pegawai atasannya selepas merekodkan keterangan Yusoff yang memberitahunya, ketika kejadian, Yusoff sedang memantau situasi di tempat kejadian yang mengalami kesesakan teruk kerana pemandu kenderaan membuat pusingan U di Lingkaran Putrajaya akibat jambatan di kawasan itu runtuh.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Baljit Singh yang mewakili Yusoff,  saksi itu berkata seorang pegawai atasannya bersetuju supaya tiada tindakan diambil terhadap Yusoff, bagaimanapun dua lagi pegawai tertinggi jabatan itu  tidak bersetuju dengan cadangannya.

“Saya  mencadangkan supaya tiada tindakan diambil kepada beliau (Yusoff)  dan dipersetujui  oleh seorang pegawai  atasan namun,  dua lagi pegawai  tertinggi tidak bersetuju dengan syor saya itu,” kata saksi itu yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguat Kuasa JPJ di Wangsa Maju.

Saksi kelima itu berkata demikian pada perbicaraan kes Yusoff yang mengaku tidak bersalah  atas pertuduhan memandu kereta dengan nombor pendaftaran 'BLY 68' di lorong kecemasan Lingkaran Putrajaya di Putrajaya kira-kira 6.27 petang pada 7 Oktober 2016 yang bertentangan dengan Kaedah 53(1) Kaedah Lalu lintas Jalan 1959.

Yusoff sebagai Orang Kena Saman (OKS),  58, yang ditukarkan berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Julai 2017, dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 119(1)  (c ) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan.

Ditanya Baljit Singh, sama ada terdapat penganiayaan dan niat tidak baik yang membawa kepada pendakwaan terhadap anak guamnya, saksi itu berkata beliau tidak pasti.

Baljit Singh: Berapa lama awak berkhidmat di JPJ?

Saksi : 13 tahun Baljit Singh: Selama 13 tahun di JPJ  tidakkah awak rasa sesuatu perasaan yang ganjil kerana awak ditugaskan merakamkan keterangan pegawai atasan awak iaitu Timbalan Ketua Penguat Kuasa Operasi (Yusoff)?

Saksi: Adalah sikit Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan, Zailani berkata Yusoff memberitahunya, semasa kejadian, beliau memandu di lorong kecemasan bagi mengetahui situasi sebenar di jalan itu yang mengalami kesesakan yang sangat teruk.

Saksi pertama iaitu Ahmad Zaid Kamarul Awang, Penolong Penguat Kuasa JPJ, di Putrajaya, berkata beliau ditugaskan oleh pegawai atasannya untuk membuat operasi aduan bergambar iaitu untuk mengambil gambar kenderaan yang berada di Lingkaran Putrajaya yang mengalami kesesakan ketika waktu puncak.

Menjawab soalan Baljit Singh, saksi itu berkata beliau bagaimanapun  tidak tahu ketika itu Yusoff sedang menjalankan pemantauan dan memandu di lorong kecemasan.

Baljit Singh: Awak tahu atau tidak  Datuk Yusoff sebagai Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPJ, beliau mempunyai kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan  untuk membuat pemantauan  di jalan raya atau penguatkuasaan. Awak setuju atau tidak?

Saksi : Ya setuju Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau berada di tempat kejadian selama dua jam setengah dan telah mengambil sebanyak 20 keping gambar kereta Proton Inspira berwarna hitam yang dinaiki Yusoff menggunakan telefon bimbitnya, bagaimanapun beliau tidak tahu itu kenderaan yang dinaiki Yusoff.

“Daripada 20 keping itu, hanya lapan atau sembilan gambar yang kelihatan  jelas,” katanya yang memberitahu bahawa beliau ke tempat kejadian bersama seorang lagi rakan sekerjanya  yang membawa kamera yang dibekalkan Jabatan itu.

Menjawab soalan pendakwaan, saksi itu berkata tiada prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan pegawai penguat kuasa menggunakan kamera jabatan itu ketika melaksanakan operasi aduan bergambar.

Pendakwaan pada Rabu menutup kes selepas memanggil lima saksi pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Majistret Muhammad Zaki Abd Kudos menetapkan petang Khamis untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak. - BERNAMA

JPJ

Artikel Sebelum

Penduduk Dinasihat Waspada

Artikel Berikut

Ibu Bapa Suspek Tak Didakwa

Artikel Lain