suria

Taufan Doksuri Sebabkan Banjir Kilat Di George Town

GEORGE TOWN: Banjir kilat di beberapa kawasan di bandar raya ini sini pada Jumaat lepas adalah disebabkan oleh taufan Doksuri yang menyebabkan berlaku taburan hujan luar biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata ia bukan berpunca daripada limpahan air Empangan Air Itam.

Beliau berkata taufan itu mengakibatkan kapasaiti taburan hujan pada hari tersebut sebanyak 270 milimeter (mm) iaitu bacaan luar biasa yang direkodkan di Pulau Pinang, selain turut meningkatkan paras empangan itu sebanyak 25 peratus.

"Kebiasaannya Pulau Pinang menerima taburan hujan antara 3 mm dan 52 mm. Tetapi pada 15 Sept lepas, taburan hujan yang diterima ialah sebanyak 270 mm, maknanya luar daripada jangkaan biasa.

“Hujan luar biasa ini bukan disebabkan oleh hujan antara monsun. Ia adalah tempias daripada Taufan Doksuri yang turut melanda Vietnam selaju 165 kilometer sejam.

"Taburan hujan sebanyak 270 mm ini adalah lebih kurang hujan yang turun dalam tempoh sebulan, tapi ia turun dalam satu malam sahaja. Akibat taufan ini Pulau Pinang mendapat hujan sebanyak 270 mm dan telah mengisi Empangan Air Itam sehingga penuh," kata Jaseni kepada pemberita ketika melawat Empangan Air Itam, Ahad.

Turut melawat Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Negeri Lim Hock Seng serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Hujan lebat lebih lima jam dengan air laut pasang setinggi 2.1 meter pada 15 Sept lalu telah mengakibatkan 100 kawasan di lima daerah di Pulau Pinang ditenggelami air dan beberapa kawasan telah mengalami kejadian tanah runtuh.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang memantau taburan hujan dan paras Empangan Air Itam bagi memastikan air di empangan itu tidak melimpah kerana ia telah mencapai paras maksimum 100 peratus ekoran hujan lebat Jumaat lepas.

"Memang kita tahu sebelum musim hujan kita akan turunkan takungan empangan untuk mengambil hujan yang lebih di mana paras takungan empangan tidak boleh lebih 75 peratus. Kalau lebih ia melimpah. Kita mengeluarkan kira-kira 50 juta liter air sehari. Empangan yang penuh ini boleh tahan hingga 100 hari tanpa hujan," katanya.

Bagi memastikan paras empangan itu berada pada tahap normal, Jaseni berkata PBAPP sedang merancang untuk membina sebuah paip dari Empangan Air Itam yang akan menyalurkan lebihan air ke Empangan Teluk Bahang bagi mengelakkan daripada berlaku limpahan dan pembaziran air dan ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya memaksimumkan pengeluaran di Empangan Air Itam dan apabila empangan itu berada pada tahap maksimum ia boleh disalurkan menerusi paip berkenaan ke Empangan Teluk Bahang memandangkan empangan itu kini berada pada paras 88 peratus.

Sementara itu Lim berkata sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi memasang paip itu dan apabila siap kelak Ia akan berfungsi untuk menyimpan dan menjimatkan sumber air sekal igus dapat menangani masalah banjir di negeri ini.

Beliau turut meminta kerajaan persekutuan untuk menyegerakan projek Jabatan Pengairan dan Saliran di negeri ini termasuk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang bagi mengurangkan masalah banjir terutama di kawasan rendah seperti di Jalan P. Ramlee di sini.

Beliau berkata pihaknya akan menulis surat kepada kerajaan persekutuan supaya mempercepatkan projek berkenaan kerana hanya RM300 juta daripada keseluruhan peruntukan RM1.4 bilion dibelanjakan untuk projek itu buat masa ini.

"Kita nak kerjasama dengan semua pihak untuk projek rancangan tebatan banjir yang diumumkan kerajaan persekutuan. Walaupun projek ini sudap siap kelak, ia masih tidak dapat menghalang banjir. Banjir tetap akan berlaku, namun ia akan mengurangkan masalah banjir dan kesannya," katanya.-- Bernama

Doksuri, Jaseni Maidensa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain