suria

Pelajar Tahfiz, Sekumpulan Remaja Pernah Bertelingkah

KUALA LUMPUR: Bapa bayi yang terselamat dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, di sini Khamis lalu mendakwa berlaku pertelingkahan di antara pelajar dan sekumpulan remaja, awal tahun ini.

Muhammad Azhari Mahmod, 40, berkata, beliau dimaklumkan mengenai insiden itu namun difahamkan, pelajar pusat tahfiz terbabit mengalah dalam pergaduhan tersebut.

"Saya ada dimaklumkan tentang perkara itu yang mana berlaku pada awal tahun ini. Tapi, pelajar saya mengalah dan mereka bermain di padang berhampiran," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Menurutnya, perkara itu disangkanya sudah selesai namun Ramadan lalu, pelajar sering diganggu dengan balingan mercun ketika hendak menunaikan solat Isyak.

Katanya, ketika itu beliau menegur pelajarnya supaya tidak bermain mercun.

"Tapi pelajar mengatakan itu bukan mereka. Tapi ada pihak lain yang membalingnya," katanya.

Menceritakan kejadian yang berlaku Khamis lalu, Muhammad Azhari yang ketika itu berada di Makkah berkata, beliau dimaklumkan mengenainya menerusi panggilan telefon.

Menurutnya, ketika kejadian, isterinya, Siti Nur Hayati bersama empat anaknya termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan berada di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

"Isteri saya sedang solat sunat ketika itu, sebelum menyedari bunyi bising pelajar jerit minta tolong. Bau gas kuat masa itu dan isteri saya terus cuba menyelamatkan anak bongsu dengan bantuan pelajar lain.

"Isteri saya sempat berlindung di dalam bilik mandi tingkat tiga sebelum bomba sampai menyelamatkannya. Anak bongsu (Siti Nur Hafifah) dan tiga anak saya yang lain Siti Nur Fatimah, 12, Siti Nur Zulaikha, 9 dan Siti Nur Safiyah, 2 , semuanya selamat...dengan izin Allah, semuanya selamat...Alhamdulillah," katanya.

Beliau berkata, ketika itu perasaannya bercampur baur kerana terfikir keadaan keluarganya pada masa itu.

"Terus saya bangun untuk solat hajat di masjid..menangis saya waktu itu fikirkan keadaan isteri dan anak. Saya harap semuanya baik-baik sahaja.

“Selepas selesai, saya telefon tahfiz untuk tahu keadaan terkini. Saya diberitahu isteri saya baik dan selamat. Alhamdulillah...pemberian Allah paling bermakna kerana keluarga terselamat," katanya.- Sinar Harian

Darul Quran Ittifaqiyah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain