suria

"Tak Sangka Hanya Sebab Ejek-Mengejek"

KUALA LUMPUR: "Saya tak sangka itu (ejek) boleh jadi benda besar hingga menyebabkan kematian,"  kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmod.

Menurutnya, ejek-mengejek baginya hanya lumrah biasa bagi kanak-kanak.

"Ini lumrah kerana kita dahulu juga pernah menempuhi zaman kanak-kanak. Saya tak anggap itu jadi benda besar hingga jadi sebegini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, di sini, Ahad.

Ketika ditanya sama ada beliau pernah menerima laporan mengenai ugutan oleh pihak luar daripada pelajarnya sebelum kejadian, Mohd Zahid menafikannya.

"Setiap minggu pada Isnin dan Rabu, pelajar-pelajar saya dibenarkan beriadah di luar sambil dipantau oleh warden tahfiz untuk mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata, walaupun masih bersedih, beliau harus meneruskan perjuangan tahfiz itu.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang menghulurkan bantuan, bermula dari pengurusan jenazah hinggalah penyiasatan termasuklah netizen yang menghulurkan sumbangan wang serta sokongan moral.

Mohd Zahid berkata, beliau berharap masyarakat tidak melemparkan tuduhan tidak sepatutnya sebelum siasatan selesai dijalankan.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat terbakar pada jam 5.15 pagi, Khamis lalu.

Susulan itu kejadian itu, semalam polis menahan tujuh remaja berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun.- Sinar Harian

Darul Quran Ittifaqiyah

Artikel Lain