suria

'Tiga S' Ilham Dari Matahari

Sri Sinar menunjukkan MyKad tertera nama yang diberikan oleh ayahnya. Foto Sinar Online

JASIN: "Sewaktu di sekolah dulu, kawan-kawan gelar saya dengan panggilan ‘Tiga S’,” kata seorang juruwang di sebuah pasar mini di Umbai, di sini.

Bukan saja unik, bahkan Sri Sinar Suria, 44, amat berbangga dengan nama itu kerana dengan nama itulah dia mudah dikenali rakan-rakan, malah lebih menarik lagi kerana nama itulah dia menemui suaminya kini kira-kira 20 tahun lalu.

Berasal dari Jalan Balik Bukit, Kampung Bukit Lintang, Ayer Molek, Melaka, Sri Suria merupakan anak ketiga dari enam beradik.

Menurut Sri Sinar, di kalangan adik-beradiknya, hanya namanya saja unik kerana mempunyai tiga patah perkataan sedangkan adik beradik lain hanya diberi ayahnya, Umar Ab Rahman, 71, dengan nama biasa sahaja.

“Menurut ayah saya, macam mana dia boleh dapat idea meletakkan nama tersebut ketika hari saya lahir. 

“Saya lahir masa matahari baru hendak naik di waktu pagi. Dalam suasa pagi itu, sedang ayah duduk termenung, tiba-tiba cahaya matahari memancar tepat ke mukanya.

“Akhirnya dia terfikir untuk meletakkan nama saya Suria yang dikaitkan dengan matahari. Tetapi dia fikir balik, nama Suria macam biasa saja.  Jadi ayah tambah lagi satu perkataan... Sinar.

“Nama Sri pula diperoleh secara kebetulan disebabkan semua nama adik beradik perempuan saya yang lain bermula nama dengan nama Sri kerana ketika itu kebetulan ayah ada buka warung yang dinamakan 'Sri Bunian' di Bukit Lintang.

“Tetapi ayah ada kata, keluarga kami berketurunan Raden, sebab itulah nama saya diberikan begitu, tetapi bagi saya itu semua sudah aturan yang maha esa” katanya.

Pernah digelar Sang Suria

Menurut Sri Sinar, ada juga antara kawan-kawan yang rapat mengusiknya dengan panggilan Sang Suria, tetapi ia sekadar gurauan dan langsung tidak berkecil hati.

“Yang menariknya, setiap kali saya orang tahu nama saya Sri Sinar Suria, pasti ia akan menjadi topik permulaan perbualan kami. Ada yang tanya macam mana nama saya boleh unik macam itu.

“Biasanya, saya akan menceritakan kepada mereka sejarah bagaimana ayah memberikan nama saya suatu saya dilahirkan dahulu,” katanya.

Menurutnya, begitu juga setiap kali dia membuat urusan pendaftaran sama ada di klinik atau di kaunter-kaunter tertentu sudah pasti orang akan rasa pelik dengan namanya.

“Apa tidaknya, setiap kali saya daftar nama, misalnya di klinik, petugas di kaunter akan menegur nama saya, katanya  nama saya unik dan tidak ramai orang ada nama macam itu. Yang menariknya, orang mudah ingat nama saya dan secara langsung saya punyai ramai kenalan.

“Kesan dari nama saya juga, anak-anak saya di sekolah turut menerima tempias apabila rakan-rakan selalu menyebut nama saya sebagai anak Sri Sinar Suria.

“Apa pun, saya berbangga mereka lebih kenal nama saya daripada nama anak,” katanya.

Menceritakan bagaimana dia bertemu jodoh dengan suami, Sri Sinar berkata, semuanya kehendak ALLAH SWT, namun tidak mengakui namanya sebagai penyebab sahaja.

Suaminya, Abdul Rahman Md Said, 44, berkata, semua berlaku ketika mereka berdua sama-sama bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam.

“Kami bekerja sama tempat, saya mula tertarik sebab nama dia agak lain dari yang lain dan masa itu kami cuma berkawan biasa. 

“Saya mula menaruh hati setelah dua tahun bekerja, tetapi tidak berani berterus terang kerana lagi pun saya dapat tahu ada juga rakan saya yang minat pada dia.

“Minat itu saya pendam sehinggalah saya berhenti kerja di tahun keempat dan setelah enam bulan berhenti saya alami satu kejadian pelik dan saya percaya ini kuasa Allah. Setiap kali hendak lelapkan mata, saya terdengar ada suara perempuan memanggil nama saya.

“Kejadian ini berlaku beberapa kali sehinggalah saya masuk semula kerja di kilang yang sama. Masa inilah saya semakin rapat dengannya sehinggalah kami mendirikan rumah tangga,” katanya yang dikurniakan lima anak berusia dari 19 hingga empat tahun. - Sinar Online

Sri Sinar Suria

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ralat Tak Bergambar Bersama Tuanku

Artikel Lain