suria

Guru Korban Tenaga Demi Calon UPSR Orang Asli

Guru Bahasa Melayu Mohd Asmadi Zainal Abidin bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Pos Musoh Landing Zone (SKPMLZ) mengulangkaji pelajaran pada waktu rehat sebelum menduduki mata pelajaran Bahasa Melayu (Penulisan) pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Isnin.

TAPAH: Demi memastikan anak murid lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), guru-guru di sebuah sekolah pedalaman di Perkampungan Orang Asli dekat sini sanggup berkorban masa dan tenaga mengadakan kelas tuisyen sehingga malam.

Inisiatif yang dilakukan sejak 2014 itu digalas 12 guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Musoh LZ (Landing Zone) dekat sini, yang dikelolakan guru besarnya Azman Abdul Manaf bagi memudahkan tujuh calon UPSR 2017 dari sekolahnya menjawab kertas peperiksaan.

SK Pos Musoh LZ mempunyai 52 murid Orang Asli dan jarak antara sekolah itu dengan Pekan Tapah adalah kira-kira 40 kilometer sehala iaitu para guru mahupun penduduk tempatan terpaksa melalui lereng-lereng gunung yang sempit dan jurang dalam serta hanya muat untuk satu kenderaan pacuan empat roda melaluinya.

Keadaan itu menyebabkan ada guru-guru prihatin ini sanggup bermalam selama beberapa hari di sekolah demi mendidik anak murid mereka.

Menurut Azman, 50, menyedari kaedah pengajaran dan pembelajaran calon-calon UPSR Orang Asli tidak boleh disamakan dengan cara kelas pembelajaran arus perdana, pihaknya telah melakukan kelas tuisyen setiap hari bermula awal tahun sehingga saat-saat akhir sebelum menjelangnya hari peperiksaan.

"Sebenarnya cabaran nak mengekalkan minat belajar mereka ni agak mencabar kerana kita harus bijak menyesuaikan diri dan kena rendahkan sikit tahap pembelajaran dan pengajaran.

"Ini kerana di sini, kita harus mengajar ikut aras kemampuan murid-murid itu sendiri, bijak tarik minat mereka dan tidak bolehlah ikut sukatan semata-mata. Nanti silap-silap haribulan mereka lari balik ke rumah," katanya ketika ditemui di sekolah itu dekat sini, Isnin.

Mengulas lanjut, Azman yang berasal dari Temoh, di sini berkata kelas tuisyen UPSR buat empat murid perempuan dan tiga murid lelaki Orang Asli itu adalah selepas waktu sekolah, bermula pukul 2 hingga 4.30 petang setiap hari dari Isnin hingga Khamis namun bermula dua minggu sebelum peperiksaan, kelas tuisyen dilanjutkan dari 8 hingga 10 malam.

Ditanya mengenai pencapaian UPSR sekolah itu, Azman yang pernah mencurahkan baktinya di SK Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Jernang di Sungkai (sekolah Orang Asli) berkata pada tahun lalu sekolahnya mencatat kedudukan ketiga terbaik daripada 28 sekolah di Perak dalam pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS).

Selain itu, apa yang menariknya jelasnya, SK Pos Musoh LZ turut dinobatkan selama tiga tahun berturut-turut sebagai sekolah dalam negara ini yang mencapai peratusan kehadiran 100 peratus muridnya ke sekolah.

Justeru katanya beliau menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada tahun ini selain secara realistik sasaran pencapaian terbaik 3A, 3B menerusi seorang calon UPSR sekolah itu yang menunjukkan potensi berdasarkan keputusan percubaannya baru-baru ini.-- Bernama

Pos Musoh, UPSR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain