suria

Isu Bendera Indonesia Selesai

Pertemuan Khairy bersama Nahrawi berhubung isu bendera Indonesia di dalam buku panduan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Foto twitter @Khairykj

KUALA LUMPUR: Isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik di dalam buku panduan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) telah diselesaikan, menurut menteri belia dan sukan kedua-dua negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya, Imam Nahrawi mengadakan pertemuan tertutup selama 10 minit di sebuah hotel di sini, Ahad.

Kedua-dua menteri itu dilihat bersalaman dan memberitahu sidang media bahawa isu tersebut telah diselesaikan.

Nahrawi berkata, beliau telah menerima permohonan maaf daripada Khairy.

"Kami berkawan baik dan saya tahu Khairy sentiasa mengutamakan hubungan baik antara kedua-dua negara.

"Tetapi kita harap isu ini tidak lagi berulang," katanya.

Khairy berkata, beliau telah mengarahkan buku panduan tersebut diperbetulkan dan dicetak semula.

"Ia tidak disengajakan dan berlaku disebabkan kecuaian kita.

"Tetapi tidak dinafikan ia adalah kesilapan besar yang telah menjejaskan imej dan reputasi Republik Indonesia kerana bendera merupakan simbol kebanggaan sesebuah negara," tambahnya.

Terdahulu, Khairy memuat naik statusnya memohon maaf kepada Imam: "Bapak Imam, Please accept my sincere apologies for this. Sesungguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf."

Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) turut membuat permohonan maaf di atas kesilapan itu.

Bendera yang dicetak dalam buku tersebut memaparkan warna bendera Indonesia putih (atas) dan merah di bahagian bawah.

Warna bendera Indonesia yang sebenarnya adalah merah (atas) dan putih di bawah.


Artikel Sebelum

Artikel Lain