suria

Dr Mahathir Gagal Peroleh Penangguhan, RCI Bermula Isnin

Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara akan bermula Isnin ini selepas Tun Dr Mahathir Mohamad gagal memperoleh perintah mahkamah untuk menangguhkan prosiding itu.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata berdasarkan bahan yang direkodkan, mahkamah tidak diyakinkan bahawa penangguhan permohonan itu perlu dibenarkan.

"Kami berpendapat bahawa, atas kepentingan umum, prosiding RCI mesti diteruskan," katanya.

Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim adalah dua lagi hakim yang menganggotai panel itu.

Dr Mahathir mahu prosiding RCI ditangguhkan sementara menunggu pendengaran rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Dalam permohonan kebenaran  untuk memulakan semakan kehakiman, beliau memohon untuk membatalkan keputusan RCI yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua anggota daripada bersidang dalam panel lima anggota RCI yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara pada 1990-an.

Dr Mahathir memfailkan tindakan perundangan itu selepas RCI, pada 8 Ogos lepas, menolak permohonan beliau untuk menyingkirkan pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan seorang daripada anggotanya, Tan Sri Saw Choo Boon, sebagai anggota suruhanjaya berkenaan.

Beliau memfailkan permohonan itu atas alasan bahawa suruhanjaya siasatan berkenaan telah melanggari keadilan asasi oleh kerana Mohd Sidek dan Saw juga adalah anggota sebuah pasukan petugas bertanggungjawab bagi siasatan yang mengemukakan syor untuk menasihati jemaah menteri supaya menubuhkan  Suruhanjaya Siasatan.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi membenarkan bantahan kerajaan terhadap permohonan semakan kehakiman oleh Dr Mahathir dan menegaskan bahawa RCI tidak mempunyai bidang kuasa berhubung pelantikan atau pengguguran anggotanya.

Sebelum itu dalam prosiding hari ini, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir, berhujah bahawa mereka tidak berniat untuk mencabar Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya hanya mahu jemaah menteri menasihati baginda supaya menggantikan dua anggota RCI itu.

Mohamed Haniff berkata laporan suruhanjaya itu akan membawa akibat dan mungkin menjejaskan reputasinya.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh berhujah bahawa tiada sebarang keadaan khas untuk perintah penangguhan itu dibenarkan.

Beliau berkata cadangan RCI itu tidak mempunyai kesan perundangan dan tiada kuasa perundangan tetapi ia hanya menasihati kerajaan berhubung langkah yang perlu diambil termasuk meminda prosedur operasi standard.

Selepas keputusan itu, Mohamed Haniff memberitahu pemberita tujuan Dr Mahathir untuk menangguhkan prosiding RCI itu bukanlah untuk mengelak kehadirannya dalam RCI tetapi ia adalah berkaitan pelantikan dua anggota RCI.

Mohd Sidek menetapkan 10 hari bermula 21 Ogos untuk mengadakan prosiding siasatan itu. 

-Bernama
RCI, BNM, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain