suria

'Teksi, Pareey?'

DI Timur Tengah ini, kebanjiran warga Filipina memang dirasai benar. Jika di Arab Saudi mereka dipanggil "lipas". Aku sangat tak setuju dengan jolokan itu. Memalukan apabila melabelkan orang seperti itu.

Di Doha, ramainya mereka sehingga ada satu tempat di panggil Souq Filipina. Dan kau boleh melihat mereka merata-rata di kawasan itu.

Di situ terdapat satu kedai, Kabayan Store. Kedai tersebut menjual barang-barang runcit. Aku baru tahu juga jus nenas jenama Del Monte adalah keluaran Filipina.

Selain itu, Souq Filipina yang terletak di belakang Spiral Mousqe, sedikit meriah berbanding Souq Waqif yang terletak di seberang jalan.

Berbeza dengan Souq Waqif yang banyak menjual rempah-ratus dan kekacang, Souq Filipina lebih ke arah urban. Menjual gajet, barangan eletronik, beg, daging, jam, kasut, pakaian, toto dan oh ya, abaya juga ada di jual.

“Kita pergi malam ni?” mesej Melvin.

“Boleh,” jawab aku ringkas.

Beria-ia pula si Melvin ini mengajak aku ke Souq Filipina dua hari lepas. Walhal yang tidak pernah pergi ke sana ialah Wayne.

“Apa?! Kau tak pernah pergi ke Souq Filipina?” tanya aku terkejut. Melvin yang di sebelah hanya tersengih mendengar pengakuan Wayne pada malam kami bekerja.

“Ha ha ha. Apa yang best situ?” tanya Wayne lanjut.

Aku memegang bahu Wayne dan Melvin. “Sharwama!” kata aku.

“Sharwama? OK bawa aku ke sana,” kata Melvin. Budak Filipina ini memang suka makan. Pantang sebut, mesti dia nak rasa.

Maka berjumpalah aku dengan Melvin pada malam itu. Merayau-rayau di Souq Filipina. Sesaknya macam Jalan Tuaku Abdul Rahman di tengah Kuala Lumpur. Kereta keluar masuk tersangkut-sangkut. Bunyi hon di san-sini.

“Mana Sharwama?” tanya Melvin.

“Ada sebelah sana, kita pergi kedai CATS kejap, nak beli barang,” kata aku.

Aku dan Melvin berdiri di bahu jalan mahu melintas. Saat itu juga pemandu teksi sapu yang banyak berkeliaran di kawasan sekitar mencari penumpang menegur kami.

“Teksi parey?”

“Tak tak. Kami nak melintas,” jawab aku.

Penghawa dingin di dalam butik CATS menjemput kami dengan penuh mesra. Bahang tebal yang di luar tadi perlahan menipis. Fuh, lega.

Selesai membeli, aku dan Melvin keluar dari kedai. Aku mengambil beberapa keping gambar untuk cerita aku.

“Mana sharwama?” tanya Melvin.

“Kejaplah, aku nak ambil gambar ni.”

Selesai mengambil gambar aku tanya Melvin, dia cari apa di souq itu. Katanya cuma nak tengok-tengok kasut keselamatan. Di butik CATS tadi tak ada.

Lalu aku bawa dia ke kedai kedua. Berdiri kami lagi di bahu jalan mahu melintas.

“Teksi parey?” tegur pemandu teksi sapu. Lagi.

“Tak! Nak lintas jalan!” kata aku.

Di kedai kedua pun tiada kasut keselamatan yang Melvin inginkan. Tiada stok. Nampaknya kena tunggu sebulan dua lagi atau ke tempat lain mencari.

“Mana sharwama?” tanya Melvin lagi setelah kami keluar dari kedai dan berdiri di bahu jalan untuk melintas semula.

Aku menjegilkan mata. Nak juga aku cekik budak Melvin ni.

Sebelum aku sempat menjawab pertanyaan Melvin, satu suara yang aku kenal mula menjengah telinga.

“Teksi parey?”

“Eh kau ni! Asal orang berdiri di tepi jalan kau ingat nak teksi! Tiga kali dah aku jawab aku nak lintas jalan! Kau dah kenapa?” bengang aku.

Melvin mengekek-ngekek gelak lepas aku 'basuh' pemandu teksi sapu tadi.

“Oh man! Kena sebijik dia. Aku pun sakit hati dengan soalan dia. Asyik ulang soalan yang sama,” sokong Melvin.

“Tau takpa. Tanya sekali cukuplah. Ini tanya sampai dua tiga kali buat apa?” kata aku.

“Betul tu. Jadi, mana sharwama?”

Aku tengok muka Melvin, aku pandang teksi tadi. Muka Melvin dan pemandu teksi tadi bersilih ganti dalam nafas aku menahan sabar.

Ah, ada juga yang mati kempunan malam ini!




Shawarma, CATS, Kebayan Store

Artikel Sebelum

Artikel Berikut