suria

Aset Isa Samad Dibekukan?

Mohd Isa hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan pembelian hotel oleh FIC. - Bernama

PUTRAJAYA: Siasatan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kes pembelian dua hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) tertumpu kepada salah guna kuasa dan rasuah berikutan penahanan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

SPRM turut mempertimbangkan untuk membekukan kesemua aset yang dimiliki oleh Mohd Isa.

Mohd Isa diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa untuk memberikan keterangan tentang pembelian hotel terbabit - sebuah hotel di London dan sebuah lagi di Kuching. Beliau ditahan selepas dua jam keterangannya diambil.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, penahanan itu dibuat berdasarkan kenyataan saksi yang dirakamkan oleh pasukan penyiasat.

"SPRM yakin bahawa tindakan itu diambil atas alasan yang kukuh bagi membantu kami melengkapkan siasatan kes berkenaan," kata Azam.

Mohd Isa tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 2.40 petang Selasa.

Beliau yang memakai jaket berwarna kuning dilihat melemparkan senyuman ketika para pemberita mendekatinya.

Mohd Isa dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret pada Rabu bagi mendapatkan perintah reman.

Di Kota Bharu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad pula mengesahkan bahawa rumah Mohd Isa di Selangor telah diserbu.

Beliau berkata, tindakan tersebut adalah prosedur biasa yang dijalankan ketika menyiasat dakwaan berkaitan rasuah.

Terdahulu, Mohd Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid disoal siasat selama hampir empat jam di ibu pejabat SPRM pada 21 Jun lalu.

Isa Samad, FIC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain