suria

Pesanan Terakhir Seorang Anak

Jenazah Allahyarham Muhammad Amirul Asyraf Abdullah yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Arakawa Saitama Jepun pada 3 Ogos lalu diusung keluar selepas solat jenazah dari Masjid Ibnu Sina Titiwangsa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa pada Khamis. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: “Mama simpan kad insurans ini elok-elok, kalau jadi apa-apa pada adik, mama senang nanti,” itulah kata-kata Allahyarham Muhammad Amirul Ashraf Abdullah kepada ibunya dalam perbualan telefon dari Jepun pada bulan Mac lalu.

Pada ketika itu Junaidah Mat Ali, 43, tidak menyangka pesanan itu akan menjadi petanda bahawa dia akan berpisah buat selama-lamanya dengan anak lelakinya yang berusia 21 tahun itu.

Muhammad Amirul Ashraf, pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal Informatiks Universiti Meiji, Tokyo di Jepun, mati lemas semasa mandi-manda bersama beberapa rakan lain dalam satu aktiviti perkelahan di Sungai Arakawa, Saitama, Jepun, 3 Ogos lalu.

Menceritakan kenangan beliau bersama anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Taman Tasik Titiwangsa, Junaidah berkata Amirul Ashraf pulang ke Malaysia semasa cuti semester Mac lalu namun tertinggal kad insurans nyawanya di rumah, sebelum kembali ke Jepun pada bulan sama.

Bila di Jepun, Amirul Ashraf menghubungi Junaidah menerusi telefon tentang kad insurans itu dan berpesan kepada ibunya agar menjaga kad itu dengan baik untuk kesenangan mereka jika apa-apa berlaku kepadanya.

"Saya tidak menyangka bahawa kepulangan dia ke Malaysia merupakan perjumpaan kali terakhir pada Mac lepas dan dia sempat jumpa semua anggota keluarga, cikgu sekolah serta kawan-kawan sebelum pulang ke Jepun.

"Masa dia balik tempoh hari itu, dia gembira dan beritahu kami bahawa dia bakal menamatkan tempoh pengajian pada bulan Mac tahun depan, tapi Allah lebih menyayanginya dan saya reda dengan pemergian anak saya," katanya dalam linangan air mata.

Sementara itu kakak sulung Allahyarham, Nur Alliesa Hassan, 24, berkata adiknya seorang yang menghormati keluarga dan seorang yang berdikari dalam setiap perkara.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan pihak-pihak lain yang membantu menguruskan penghantaran pulang jasad adik saya dari Jepun," katanya.

Sementara itu, Mohamad Ridzwan Normahazan, 22, rakan karib Allahyarham, berkata Amirul Ashraf mengajaknya untuk turut sama pergi berkelah di Sungai Arakawa sebelum kejadian itu namun beliau terpaksa menolak kerana ada tugasan yang perlu disiapkan.

"Sebelum kejadian lemas itu, saya sempat menghantar mesej WhatApps kepada arwah untuk mohon izin ambil makanan arwah di bilik sewaan kami, namun tak lama kemudian dalam pukul 7 malam (waktu Jepun) saya terima berita bahawa arwah meninggal dunia kerana lemas," kata Mohamad Ridzwan, yang merupakan rakan sebilik dan sekampus Allahyarham.

Jenazah Allahyarham Amirul Ashraf dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Tasik Titiwangsa di sini pagi Khamis setelah disolatkan di Masjid Ibnu Sina, Titiwangsa.

Lebih 100 orang terdiri daripada anggota keluarga dan sahabat handai menghadiri pengebumian pelajar Malaysia itu, yang berlangsung dalam suasana pilu.- Bernama

Amirul Ashraf Abdullah

Artikel Lain