suria

Koperal Zulkarnain Tak Kisah Berbelanja Beli Jalur Gemilang Hias Rumah

Zulkarnain, seorang anggota polis berpangkat koperal menghiasi perkarangan rumahnya di Taman Pelangi, Sikamat dengan ratusan bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-60.

SEREMBAN: Seorang anggota polis sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk membeli Jalur Gemilang semata-mata untuk menghiasi  hampir keseluruhan rumahnya bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara.

Koperal Zulkarnain Kasmuri, 54, yang bertugas di Balai Polis Chembong di Rembau mengibarkan Jalur Gemilang itu di kawasan pagar, dinding dan bumbung rumahnya dan tidak terhenti setakat itu, beliau turut menghiasi barangan antik miliknya seperti tepak sirih, kipas buluh dan basikal antik dengan Jalur Gemilang.

Beliau yang menetap di Taman Pelangi, Sikamat itu berkata, usahanya menghiasi seluruh rumahnya dengan Jalur Gemilang disebabkan minat dan rasa cinta yang mendalam terhadap negara dan ia sekali gus dapat membangkitkan lagi semangat untuk menghayati erti kemerdekaan di samping menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu.

"Pemimpin terdahulu telah memerdekakan tanah air, jadi saya sebagai warga Malaysia meskipun saya tidak pernah bersama para pejuang negara bagi memerdekakan negara satu masa dahulu, namun saya rasa bertanggungjawab untuk menghargai dan menghayati erti kemerdekaan yang telah dikecapi.

"Apabila semua bendera telah digantung, saya akan pastikan semuanya dalam keadaan baik. Mana-mana bendera yang saya dapati rosak, saya akan terus gantikannya dengan yang baharu,” katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata beliau mula menghiasi rumah dengan Jalur Gemilang sejak di bangku sekolah lagi dengan membantu bapanya menggantung bendera di perkarangan rumah dan ia dilakukan setiap tahun dan kini menjadi ikut-ikutan di kalangan jiran-jirannya sehingga diadakan pertandingan menghias rumah sempena Bulan Kemerdekaan.

"Setakat ini, jumlah kos yang telah saya belanjakan untuk aktiviti menghias ini hampir RM1,000 namun ia tidaklah sebesar pengorbanan pemimpin terdahulu yang memerdekan tanah air dan mempertahankan negara daripada terus dijajah," katanya.

Sementara itu, isteri beliau Zanariah Yusof, 49, berkata ini merupakan rutin suaminya setiap tahun dan beliau akan duduk di hadapan rumah sambil memikirkan idea-idea kreatif untuk menghiasi rumahnya tanpa mengira masa.

"Suami saya amat meminati landskap dan akan menghias rumah ini dengan bendera serta mengumpul barang-barang antik seperti almari lama, seterika dan basikal tua.

"Saya juga ada membantu suami saya menggantung bendera dengan menjahitnya pada payung, songkok dan juga membuat baju serta tanjak," katanya.

Minat suaminya itu turut mendapat sokongan yang baik daripada anak mereka sendiri dengan cara memuat naik gambar rumahnya itu di laman sosial seperti Facebook dan Instagram.-- Bernama 

Jalur Gemilang, Taman Pelangi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain