suria

Rahsia ‘Taranum Masuk Gaji’ Didedah

Paparan skrin menunjukkan Rocco membuat aksi bertaranum 'masuk gaji' di dalam rakaman video yang kini tular di media sosial.

PETALING JAYA: Individu yang tular selepas membuat aksi bertaranum sebagai tanda kesyukuran mendapat gaji mendedahkan rahsia di sebalik pembikinan video tersebut.

Irwan Effendy Bahtiar, 35, atau lebih dikenali sebagai Rocco berkata, dia sebenarnya hanya membuat pergerakan mulut berdasarkan taranum yang dilakukan individu lain.

“Suara bertaranum yang anda dengar itu bukanlah suara saya. Suara saya yang sebenar adalah serak-serak sedikit.

“Apa yang saya buat ketika rakaman itu hanyalah mengikut skrip. Saya sekadar ‘miming’ (membuat pergerakan mulut),” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jumaat lalu, video yang memaparkan seorang lelaki beredar dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum membuat ‘taranum masuk gaji’ tular di media sosial.

Pemuda yang berasal dari Kajang ini berkata, satu video susulan akan dimuat naik di laman sosial seawal-awalnya Selasa bagi mendedahkan pemilik suara bertaranum itu.

“Dalam video itu nanti akan menunjukkan saya melakukan ‘miming’ dan mendedahkan siapakah empunya suara itu,” kata Rocco.

Menerusi video itu, pemuda ini dilihat bertaranum dengan berkata: “Syukran (syukur) pasal gaji sudah masuk. Sudah lama tunggu sejak sebelum raya. Hampir-hampir ke Bank Rakyat untuk mohon ‘overlap’. Malam ini bawa bini makan sate Kajang.”

Video berdurasi kira-kira seminit itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang terhibur selain kecaman yang menyifatkan ia seolah-olah mempersendakan bacaan al-Quran.

Rocco berkata, apa yang dibacanya hanya ayat-ayat berbahasa Melayu yang menunjukkan tanda kesyukuran mendapat gaji, dan bukannya ayat-ayat suci al-Quran.

“Apa yang saya buat ini sekadar suka-suka. Apa yang anda lihat itulah diri saya, seorang yang suka menghiburkan kawan-kawan.

“Bagaimanapun saya memohon maaf sekiranya video taranum tersebut menyinggung perasaan mana-mana pihak,” katanya.

Johan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman yang mengulas mengenai video itu berkata, pemuda berkenaan membaca seperti adanya hukum tajwid pada ayat-ayat yang tidak sepatutnya.

“Ini kerana hukum tajwid hanya khusus pada al-Quran sahaja. Tidak pada kata-kata lain selain daripada al-Quran,” ujar Sharifah Khasif secara ringkas.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Izhar Ariff Mohd Kashim pula berkata, pada zaman sekarang taranum tidak sekadar merujuk kepada bacaan ayat-ayat suci al-Quran termasuk zikir, doa dan berzanji.

“Membaca qasidah juga boleh dilakukan dengan cara bertaranum. Tak salah kalau membawa maksud yang baik sebagaimana video tular tersebut kerana mengucapkan kesyukuran selepas mendapat gaji.

“Secara tidak langsung, ia juga merupakan salah satu kaedah menggalakkan orang membaca al-Quran kerana tertarik dengan lenggok dan kemerduan taranum itu,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain