suria

Siasatan FIC: Pengarah Syarikat Direman Enam Hari

Seorang pengarah syarikat ditahan reman enam hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada Ahad bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada 2014. Foto: Bernama

PUTRAJAYA: Seorang pengarah syarikat direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada 2014.

Perintah reman sehingga 4 Ogos itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Majistret di sini, pada Ahad.

Terdahulu, lelaki berumur 57 tahun itu tiba pada kira-kira 10.40 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dengan tangannya digari.

Sumber SPRM yang dipetik Bernama semalam berkata pengarah syarikat itu yang juga merupakan pemilik hotel tersebut ditahan di pejabat SPRM Kuching pada 1.30 petang Sabtu.

Dia adalah seorang daripada tiga individu yang ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan kes tersebut dengan dua lagi lelaki ditahan di pejabat SPRM Putrajaya pada 9 pagi selepas memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

Kedua-duanya yang berumur 47 dan 51 tahun merupakan pengarah sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad sebelum ini mengarahkan kertas siasatan dibuka bagi menyiasat pembelian hotel berkenaan, yang disyaki telah dibeli dengan harga  jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.-Bernama

SPRM, FIC

Artikel Sebelum

Artikel Lain