suria

15 Dikhuatiri Hilang Selepas Bot Gagal Dikesan

Bot Sea Wonder yang membawa tiga kru dan 12 pemancing, gagal dikesan sejak petang Jumaat. Foto ihsan APMM

KUCHING: Sebuah bot berpangkalan di Kampung Geobilt di sini yang membawa tiga kru dan 12 pemancing dilaporkan tidak dapat dikesan selepas terputus hubungan dengan pemiliknya malam Jumaat.

Pengarah Daerah Maritim Kuching, Kapten (M) Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata pihaknya menerima laporan daripada pemilik bot ‘Sea Wonder' itu yang dikenali sebagai Alice Lim kira-kira 8.15 malam Jumaat dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilancarkan.

Beliau berkata pemilik mengesyaki bot berkenaan mengalami kerosakan.

Katanya, kali terakhir Lim menghubungi bot itu ialah pada 4 petang Jumaat semasa ia berada pada kedudukan kira-kira 82 batu nautika timur laut Tanjung Po.

Menurutnya tiga kru itu dikenali sebagai Phoo Kie Kuang (tekong), Kandas, dan Ariffin manakala 12 pemancing tidak dapat disahkan kerana ketiadaan senarai penumpang.

“Sebagai ingatan kepada seluruh komuniti maritim, terutama kepada pengusaha-pengusaha bot pemancing serta peminat aktiviti riadah memancing di Sarawak, mereka disaran untuk memaklumkan kepada Maritim Malaysia setiap kali keluar ke laut.

“Berikan maklumat lengkap mengenai jadual pelayaran, lokasi-lokasi memancing, nama kru dan penumpang beserta maklumat lanjut seperti alamat, kad pengenalan, dan nombor telefon kecemasan untuk dihubungi bagi memudahkan pihak Maritim Malaysia mengambil tindakan lanjut dengan segera (sekiranya berlaku sebarang kecemasan),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Shahref turut meminta anggota keluarga atau sahabat handai 12 pemancing berkenaan untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak dengan menelefon 082-432544 bagi membantu siasatan mengenal pasti identiti mereka lebih lanjut. - BERNAMA

Sea Wonder, pemancing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain