suria

Dzulkifli Tak Minat Jadi Ahli Politik, Selebriti

Dzulkifli Ahmad.

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad menegaskan beliau tidak berminat untuk menjadi ahli politik mahupun selebriti.

"Saya tidak berminat dengan kedua-duanya sekali (menjadi ahli politik atau selebriti) kerana saya seorang penjawat awam yang mempunyai tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya dalam SPRM.

"Dia (Saifuddin) tidak perlu takut kerana sememangnya saya tidak berminat jadi ahli politik," katanya dalam sidang akhbar majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Polis Diraja Malaysa di Pusat Latihan Polis, di sini Isnin.

Dzulkifli berkata demikian bagi menjawab sindiran Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan beliau seperti ahli politik atau selebriti yang hanya mahu mendapat perhatian media apabila memperkenalkan IBR.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata SPRM memerlukan sokongan masyarakat secara menyeluruh dan turun padang dengan menjalankan program membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

"Semua orang kena memainkan peranan masing-masing kerana kita hendak melahirkan masyarakat yang berani untuk mengatakan tidak kepada rasuah.  Jadi kalau itu sebab saya jumpa rakyat menjalankan kempen di sana sini untuk memastikan pemahaman rakyat tentang isu rasuah kalau itu dikatakan selebriti nak buat macam mana?," katanya. - BERNAMA

SPRM

Artikel Lain