suria

Sisa Ayam Pun Okay

Enam remaja menikmati set ayam goreng di sebuah restoran francais makanan segera, KL Sentral pada petang Isnin. - Facebook/Ja Sazni

PETALING JAYA: Gara-gara kelaparan, enam remaja sanggup melilau mencari sisa makanan di restoran makanan segera bagi mengalas perut.

Kejadian itu sempat dirakam oleh pengguna Facebook, Ja Sazni pada Isnin ketika singgah untuk membeli ayam goreng di sebuah restoran francais di KL Sentral selepas pulang dari kerja.

Kata Ja Sazni pada posting berkenaan, dia menyedari terdapat dua remaja yang berpakaian lusuh seakan-akan mencari sesuatu di setiap meja.

"Bila ada makanan yang tidak habis, mereka berbisik "serbu, serbu". Lepas itu, muka kecewa sebab yang sisa hanyalah air dan sos.

"Bila mereka lalu sebelah meja saya, saya cuit bahu yang kecil itu," katanya.

Wanita tersebut bertanya adakah remaja tersebut mahu makan dan mereka mengiyakan kerana lapar.

Tersentuh dengan jawapan itu, Ja Sazni terus mengulurkan hidangan set tersebut kepada mereka berdua.

"Aduh, tersentak rasa jantung. Saya hulur 'tray' yang ada ayam dua ketul, kentang goreng dan air 'coke'.

"Seronok bukan main lagi dua orang tu. Bila saya angkat beg siap-siap nak beransur, datang lagi beberapa orang sebaya mereka berebut ayam tadi," tulisnya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Ahmad Ash bertanya sama ada remaja tersebut merupakan anak gelandangan, namun Ja Sazni membalas bahawa dia tidak sempat bertanya lanjut.

"Tidak sempat 'interview', mungkin esok ada lagi. Nak cuba singgah tengok budak-budak ni," balas Ja Sazni.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain