suria

Asid Tumpah, 600 Pelajar Diarah Kosongkan Kelas

ALOR SETAR: Lebih 600 pelajar diarahkan mengosongkan kelas masing-masing susulan insiden tumpahan asid nitrik.

Cecair yang tumpah di dalam stor kecil di bawah tangga itu menyebabkan penghakisan lantai dan bahan-bahan lain.

Baunya yang kuat telah mencemar udara dan pelajar Sekolah Menengah Simpang Kuala di Jalan Alor Mengkudu dekat sini telah diarahkan keluar dari kelas.

Komander Balai Bomba Jalan Raja, Jasbir Singh Tara Singh, berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada 11.41 pagi Ahad.

“Jentera bomba serta Pasukan Perkhidmatan Penyelamat dan Rawatan Kecemasan  telah dihantar ke sekolah dalam masa tiga minit.

“Bomba telah menggunakan pasir untuk menutup tumpahan itu dan selebihnya dibuang oleh pihak sekolah.

“Tiada kecederaan  berlaku dan operasi berakhir pada  tengahari,” katanya.

Asid nitrik boleh menghakis semua besi dan bertindas balas dengan bahan mudah terbakar dan bahan kimia organik, serta bahan seperti turpentin, arang, alkohol dan cuka, menyebabkan berlaku kebakaran dan letupan.

Salah seorang pelajar berkata, guru-guru mengarahkan mereka keluar dari kelas dan duduk di dewan sekolah sebaik sahaja tumpahan asid dikesan.

“Kami tunggu di dewan selama 30 minit sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Bilik stor itu terletak berdekatan dengan makmal sains dan situasi telah diuruskan pihak bomba,” kata pelajar tingkatan lima itu.

Seorang guru yang tidak mahu dikenali berkata, sekolah itu mempunyai 24 kelas termasuk pra sekolah hingga tingkatan lima, serta Pendidikan Asas Vokasional.

Artikel Sebelum

SPRM Serbu Pejabat FIC

Artikel Berikut

Artikel Lain