suria

Gigi Kami Dah Tak Jongang, Tak Rongak Lagi!

PETALING JAYA: Dua adik-beradik ini menjadi antara individu paling awal di Malaysia yang kisah mengenai mereka tular melalui media sosial.

Muhammad Farhan Muhammad Shahar, 19, dan adiknya Muhammad Fahmi, 17 pernah popular tujuh tahun dulu apabila video mereka menyanyi sambil makan gula-gula, mengetuk baldi sehingga terketuk tangan sendiri mencuri perhatian ramai.

Gara-gara gigi si penyanyi (Fahmi) yang rongak dan gigi si pemain drum (Farhan) jongang pada masa itu, kumpulan duo ini telah diberi nama 'The Ghost Teeth Band' oleh pengguna media sosial pada masa itu.

Kini, selepas tujuh tahun, gambar mereka kembali tular apabila pengguna Facebook yang juga orang kampung mereka, Ruslan Saleh, 35, memuat naik gambarnya bersama mereka di Facebook peribadinya.

Gambar tersebut diambil ketika Farhan dan Fahmi beraya di rumahnya di Kampung Badong Luar, Nenasi, Pahang, baru-baru ini.

Gambar Farhan (kiri) dan Fahmi (kanan) bersama Ruslan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Farhan ketika dihubungi mStar Online berkata, dia kini tidak lagi diejek kerana menegetuk baldi, malah telah mempunyai set drum sendiri yang dihadiahkan oleh seseorang yang berpengaruh di kawasannya.

"Gigi saya pun dah OK, dah tak jongang, bila besar lain. Sama juga dengan Fahmi, giginya pun dah tumbuh elok, tak rongak lagi," katanya.

Farhan berkata pada masa ini beliau dan Fahmi yang kini sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi sering dijemput mengadakan persembahan di sekitar kampung terutama untuk majlis kahwin.

Farhan yang kini bekerja sebagai tukang paip berkata sebagai seorang yang cintakan muzik, beliau tidak menolak jika ada pihak yang mahu membantu mengetengahkan bakatnya dalam industri hiburan tanahair.

"Segan nak pergi uji bakat sebab saya tak ada gaya, bakat main drum adalah! Fahmi ada juga masuk pertandingan nyanyian dan karaoke," katanya.

Mengimbas kembali gelagat mereka menyanyi sambil mengetuk baldi, beliau menganggapnya sebagai satu kenangan indah yang tidak dapat dilupakan.

"Rasa kelakar. Saya dan Fahmi selalu tengok balik video tu. Rasa malu pun ada juga sebab main drum guna baldi dan selamba saja kutip balik gula-gula yang jatuh dari dalam mulut saya ketika sedang main 'drum'.

"Apa-apa pun semua itu hanya tinggal kenangan," katanya.

Farhan (kiri) dan Fahmi.

Ditanya tentang 'nasib' nama 'The Ghost Teeth Band', Farhan berkata biarlah ia terus menjadi memori kerana beliau, Fahmi dan lima lagi individu telah menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan Jebat Buskers.

Sementara itu, Ruslan sebagai individu yang sentiasa mengikuti perkembangan dua adik-beradik ini, mengakui bakat seni yang ada dalam diri mereka berdua.

"Satu kampung kenal mereka, bukan sebab bakat sahaja tapi sebab mereka ni baik budaknya.

"Tapi disebabkan tak ada siapa kenal dan tak ada orang nak tolong mereka, mereka tak dapat pergi jauh dalam bidang seni," katanya.

Menurut Ruslan, beliau juga mahu membantu Farhan dan Fahmi lebih maju tetapi tidak tahu cara dan saluran yang betul.

"Nak tolong duit tak mampu, saya cuba-cubalah muat naik gambar mereka di Facebook, mana tahu ada rezeki mereka," katanya.

The Ghost Teeth Band, Ukays, Farhan, Fahmi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain