suria

Penganggur Menangis Di Mahkamah Majistret

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur menangis teresak-esak semasa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini,  atas pertuduhan memecah masuk sebuah rumah di Kampung Datok Keramat di sini, April lepas.

Ahmad Zaid Zainal, 23, yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu,juga tidak mahu berganjak dari kandang tertuduh ketika polis mengarahkannya keluar dari tempat duduknya selepas kesnya selesai disebut.

Dia didakwa melakukan pecah rumah dengan masuk melalui tingkap tandas dan mencuri sebuah komputer 'macbook', sebuah komputer riba dan wang tunai RM250 milik dua pelajar yang kesemuanya bernilai RM4,500 di rumah itu pada 4.20 pagi, 29 April lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Jikaia membabitkan kesalahan mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kali kedua atau kemudiannya boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagaimanapun, ibu tertuduh merayu jaminan yang rendah dengan alasan anaknya menghidapi kemurungan.

"Anak saya masih menerima rawatan dari Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan. Saya khuatir jika kesihatannya tidak dijaga dengan betul kemurungannya boleh datang semula," katanya.

Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Ogos depan untuk sebutan kes.

Ibu tertuduh, yang enggan menyatakan namanya ketika ditanya pemberita di luar mahkamah, membayar jaminan tersebut.

Beliau juga dilihat berpesan beberapa kali kepada anaknya supaya janganlagi melakukan perbuatan itu.-- Bernama

Kampung Datok Keramat, macbook

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain