suria

Sanggup Jalan Kaki 3.5km 'Beraya' Di Balai Polis

Bee Seng menawarkan makanan kepada Johan Iskandar di Balai Polis Setapak.

KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak berani pergi ke balai polis walaupun hanya membuat laporan, tetapi tidak bagi lelaki ini.

Dia sanggup berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer bagi mendapatkan perlindungan di balai polis pada Aidilfitri.

Ketua Balai Polis Setapak, Asisten Superitenden Wee Bee Seng menawarkan Johan Iskandar Dean Salter, 36, tempat menginap pada Ahad malam selepas lelaki itu tidak mendapat bilik di rumah perlindungan gelandangan dekat Hospital Kuala Lumpur kerana ia telah penuh.

"Saya diberitahu dia berjalan kaki ke balai polis ini dan meminta untuk bermalam serta berjanji akan meninggalkan pagi esok untuk mencari kerja.

"Lelaki itu juga memberitahu dia belum lagi makan, jadi kita berikan dia makan," katanya.

Pada Hari Raya, Bee Seng turut membantu pegawainya di kaunter balai berkenaan.

Tambah Bee Seng, pihaknya turut memberikan wang kepada Johan dan membantu memberikan kemudahan penginapan di sebuah hotel bajet selama tiga malam.

"Diharapkan, ia dapat mengurangkan bebannya dan dia dapat mencari kerja," katanya.

Bagaimanapun, ia bukanlah kali pertama Bee Seng begitu bermurah hati pada musim perayaan 1 Syawal.

Malah, beliau membuat penyusunan semula pasukannya bagi membolehkan anggota beragama Islam berpeluang bercuti selama dua hari pada Aidilfitri untuk menyambutnya bersama keluarga dan rakan-rakan.

Pasukannya dibantu anggota Rela dan Polis Sukarelawan Simpanan (PVR).

"Walaupun ada yang tidak dapat memanjangkan tempoh cuti untuk pulang ke kampung, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat menggunakan dua hari itu bagi menyambut Hari Raya," katanya.

"Sudah lama saya tidak mengambil laporan tetapi tidak susah pun," katanya.

Artikel Lain