suria

Insiden D7237:Penumpang Pertahan AirAsia X, Juruterbang

PETALING JAYA: Seorang penumpang warga Australia yang menaiki penerbangan AirAsia X D7237 mempertahankan syarikat penerbangan tambang rendah itu dan juruterbangnya yang mendapat kecaman berhubung insiden pendaratan cemas baru-baru ini.

Penumpang yang merasai pengalaman itu semasa dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur memberitahu syarikat penerbangan dan juruterbang itu tidak seharusnya dipersalahkan di atas insiden yang berlaku, sebaliknya wajar diberi pujian.

Madeline Wright, 15, berkata, AirAsia dan juruterbang telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kesemua yang menaiki penerbangan itu selamat dan tenang semasa dan selepas insiden berkenaan.

"Saya sakit hati bila ramai yang mengkritik juruterbang kerana memberitahu kami supaya berdoa, malah ada yang meminta dia dibuang kerja," tulis Madeline di Facebook pada Selasa.

"Konteks yang penuh adalah 'semuanya dalam keadaan terkawal di kokpit. Jika anda mahu berdoa, ia turut membantu'," katanya sambil menambah bahawa tindakan juruterbang meminta penumpang untuk berdoa merupakan cara untuk menenangkan mereka.

Madeline yang ketika itu dalam penerbangan untuk bercuti bersama keluarga di Vietnam menegaskan bahawa juruterbang telah membuatkan mereka berasa selamat dan memberikan maklumat yang mencukupi kepada penumpang.

"Dia (juruterbang) bercakap dengan yakin semasa kejadian dan memberikan kami harapan, saya amat berterima kasih kepadanya," katanya.

Madeline turut membidas kritikan segelintir pihak terhadap insiden yang berlaku pada penerbangan tambang rendah AirAsia, dengan menjelaskan bahawa masalah teknikal yang tidak dijangka boleh berlaku kepada mana-mana syarikat penerbangan.

"Punca insiden bukan disebabkan kami dan penumpang lain membayar lebih rendah untuk menaiki penerbangan. Kami tidak membayar lebih rendah untuk masalah teknikal, kami membayar lebih rendah kerana penerbangan tanpa peranti elektronik, makanan dan ruang kaki yang lebih besar," katanya.

Pesawat yang membawa kesemua 359 penumpang dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur pada Ahad lalu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth selepas satu jam dan 30 minit akibat masalah teknikal.

Penumpang dilaporkan memberitahu bahawa pesawat Airbus A330 tersebut bergegar seperti 'mesin basuh'.

Pesawat itu mendarat dengan selamat pada pukul 10 pagi Ahad dan kesemua mereka menaiki penerbangan seterusnya pada pukul 11.40 malam hari yang sama.

AirAsia X dalam satu kenyataan pada Isnin memberitahu, ia sedang menjalankan siasatan bersama pengeluar enjin Rolls-Royce berhubung punca kejadian.

Tambahnya, ia turut bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa penerbangan di negara itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain