suria

AirAsia Lancar Penerbangan Terus Kuala Terengganu-JB Tiga Kali Seminggu

KUALA NERUS: Terengganu mencatat sejarah apabila berjaya mengadakan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu melalui kerjasama kerajaan negeri dengan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerjasama itu bermula Mei lepas apabila kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman dengan AirAsia sebagai usaha awal ke arah memperkenalkan penerbangan terus berkenaan.

"Pemilihan untuk berkolaborasi dengan AirAsia adalah sangat tepat kerana statusnya sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia selama sembilan tahun berturut-turut bermula 2009 hingga sekarang.

"AirAsia juga mempunyai rangkaian perkhidmatan yang sangat meluas iaitu ke lebih 120 destinasi melalui 27 negara di dunia," katanya kepada pemberita sempena menyambut penerbangan pertama AirAsia dari Johor Bahru ke Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini Khamis.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar.Ahmad Razif berkata, penerbangan terus itu bukan sahaja memudahkan rakyat Terengganu yang berada di Johor dan Selatan Semenanjung untuk pulang ke kampung di Terengganu malah boleh menarik lebih ramai pelancong terutama dari Singapura dan negeri-negeri koridor selatan untuk melawat Terengganu sempena Visit Beautiful Terengganu 2017.

Ahmad Razif berkata pemilihan waktu dan masa penerbangan pesawat AirAsia bagi laluan Kuala Terengganu-Johor itu telah dijadualkan tiga kali seminggu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.

"Untuk penerbangan terus, AirAsia akan berlepas dari Johor Bahru pada 1.45 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada 2.50 petang dan berlepas dari Kuala Terengganu pada 3.15 petang dan tiba di Johor Bahru pada 4.20 petang," katanya.

Beliau berkata, jadual penerbangan itu diselaraskan dengan waktu operasi feri ke pulau-pulau peranginan di sekitar negeri itu dalam memberi kemudahsampaian pengunjung sekaligus mendatangkan impak yang maksimum kepada pengusaha feri dan hotel di negeri ini.

"Harapan saya dengan adanya penerbangan terus dari Johor ke Terengganu itu akan lebih merancakkan lagi kedatangan pelancong dari dalam mahupun luar negara ke Terengganu sekaligus menjana pendapatan penduduk setempat serta merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai 5.5 juta pelancong mengujungi negeri itu tahun ini," katanya.

Sementara itu Aireen pula berkta, beliau sangat gembira dapat menghubungkan lebih banyak laluan unik seperti Johor Bahru-Kuala Terengganu.

Beliau berkata, tahun lepas AirAsia telah menerbangkan lebih 420,000 tetamu ke Terengganu dan yakin dapat meningkatkan jumlah tersebut, selari dengan misi kerajaan negeri itu untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong pada tahun ini.

"Selain Kuala Terengganu, AirAsia juga terbang ke lapan laluan domestik lain dari Johor Bahru seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Kuching, Miri, Tawau, Sibu dan Kota Kinabalu, serta lima laluan antarabangsa iaitu Bangkok, Guangzhou, Bandar Ho Chi Minh, Jakarta dan Surabaya," katanya.

Aireen berkata, bagi meraikan penerbangan pertama itu, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua bermula dari RM79 bagi penerbangan sehala dari 22 Jun hingga 25 Jun.

Tambang promosi ini juga boleh didapati dengan tempahan menerusi aplikasi mudah alih AirAsia bagi peranti iPhone dan Android serta laman mudah alih mobile.airasia.com. - BERNAMA

AirAsia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tuah Abang Suara 'Kepit'

Artikel Lain