suria

Pasangan Kekasih Edar Dadah Ditahan

Gambar hiasan.

TANGKAK: Polis menahan sepasang kekasih dipercayai pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM157,800 dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Mati, di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata lelaki tempatan berumur 30 tahun dan wanita rakyat Vietnam berumur 26 tahun itu ditahan pada 8 pagi selepas polis bertindak atas maklumat orang awam.

"Antara dadah yang dirampas adalah heroin yang dianggar seberat 4.4 kilogram, pil Eramin 5 (270 biji), syabu (103.2 gram), pil ecstacy (385 biji) dan ketamin (6.65 gram), " katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Mohad Idris berkata ujian air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

Beliau berkata siasatan mendapati dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan dan kegunaan pusat-pusat hiburan di sekitar Tangkak.

Katanya selain dadah, pihaknya turut merampas dua kereta, sebuah motosikal, pelbagai jenis plastik serta alat penimbang digital yang dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit.

"Kita percaya pasangan ini terlibat dalam kegiatan di sekitar Tangkak lebih tiga bulan lepas. Lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah manakala wanita itu pula masuk ke negara ini secara sah pada hujung tahun lepas dan kalau ikutkan, dia akan pulang ke negara asalnya pada 25 Jun ini," katanya.

Mohad Idris berkata pasangan terbabit kini direman selama enam hari bermula Khamis hingga 27 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

dadah, pasangan kekasih

Artikel Sebelum

Tuah Abang Suara 'Kepit'

Artikel Berikut

Artikel Lain